SEPINTAS FIQH SIYASAH – PUTAR BELIT PAS YANG KURANG DICERMATI (BHG 1)



Apabila para pemimpin PAS menggunakan ungkapan-ungkapan berbahasa Arab dan kedengaran sangat Islamik, ramai pendengarnya yang ternganga-nganga dan melopong-lopong tanpa sedikit pun berani mendebatkan pengetahuan yang cuba diterapkan kepada para pendengar dan pelongo mereka. Dan apabila para pemimpin PAS menyatakan, apa yang mereka dogmakan itu adalah jalur dalam Fiqh Siyasah Syariah, sudah tentu, semua mulut tertutup sekaligus membiarkan sahaja pemimpin PAS ‘mengajarkan’ Fiqh Siyasah Syariah dengan bebasnya tanpa menyedari bahawa ajaran berkenaan seringkali menyimpang dan menyeleweng. Malah lebih tepat lagi apabila ianya tidak mengikut susun atur kaedah yang sebenarnya.

Seringkali para penceramah atau tukang kempen PAS akan memetik kaedah-kaedah fiqh agar disesuaikan dengan hujah dan tajuk perbahasan mereka. Itulah yang berlaku dalam maslahat tentang ‘ANCAK’ yang membabitkan Menteri Besar Perak sebelum ini yang dikatakan khurafat hanya dengan melihat gambar, berprasangka dan memilih kaedah yang sesuai dengan nafsu mereka.
Maka di sini, menjadi tanggungjawab untuk menerangkan bahawa meletakkan sesuatu hukum pada sesuatu yang tidak kena pada mata, bukanlah semudah ucapan atau ajakan untuk berdebat. Ia memerlukan turutan dan syarat-syarat sebelum hukum dinoktahkan.
Terdapat pelbagai kaedah atau metod Fiqh Siyasah dan ianya tidak berbeza daripada kaedah yang digunakan untuk mempelajari fiqh yang lain, misalnya fiqh munakahat dan fiqh mawaris. Dalam kaitan ini, digunakan ilm-ushul-al-fiqh dan qawa’id al-fiqh.
Secara umum, dalam fiqh siyasah, kaedah-kaedah seperti berikut digunakan:
(i)                   Ijma’
(ii)                 Al-Qiyas
(iii)                Al-Mashlahah al-Mursalah
(iv)               Sadd al-dzari’ah
(v)                 Fath al-dzari’ah
(vi)               Al-‘adah
(vii)              Al-istihsan dan kaedah-kaedah fiqiyyah.
  1. Al-Qiyas, al-Qiyas dalam fiqh siyasah, digunakan untuk mencari ‘umum al-ma’na, mencari ilat hukum. Dengan penggunaan al-Qiyas, hukum dari sesuatu masalah dapat diterapkan dalam masalan lain pada masa dan tempat yang berbeza jikalau masalah-masalah yang disebutkan terakhir mempunyai ilat hukum yang sama dengan masalah yang disebutkan terdahulu.
Dalam penggunaan al-qiyas, berlakulah kaedah:
‘Hukum berkisar bersama ilatnya, ada dan tidaknya hukum, bergantung atas ada tidaknya ilat hukum tersebut’.
  1. Al-Mashlahah al-Mursalah. Pada umumnya, al-mashlahah al-mursalah digunakan dalam mengendalikan persoalan-persoalan yang tidak diatur oleh syariat al Quran dan As-Sunnah. Oleh kerana itu, penerapan al-mashlahah al-mursalah harud berdasarkan kepada hasil penelitian yang cermat dan berhati-hati. Istilah lain yang digunakan adalah istiqra’. Tanpa penelitian seperti itu, penggunakan al-mashlahah al-mursalah tidak akan menimbulkan kemaslahatan sebaliknya mengakibatkan kemafsadatan. Dek kerana itu, para ulama mensyaratkan penggunaan al-mashlahah al-mursalah kepada beberapa syarat.
Muhammad Abu Zahrah dalam Al-Alaqah al-Daulah fi al-Islam menetapkan 3 syarat iaitu:
(i)                   Keharusan adanya kesesuaian antara ‘kemaslahatan’ dengan maqasid al-syariah. Ertinya, pemahaman dan perlaksanaan ‘kemaslahatan’ (yang ditetapkan oleh suatu masyarakat dan penguasa masyarakat tersebut) tidak boleh bertentangan dengan pokok-pokok ajaran Islam, apalagi tertolak dengan dalil yang qathi’e. Kemaslahatan tersebut harus sesuai dengan kemaslahatan yang dikehendaki oleh syara’.
(ii)                 Kemaslahatan tersebut harus bersifat ma’kul. Ertinya, masyarakat terutama pemimpin dalam bidang keilmuan akan menerimanya sebagai sesuatu yang masuk akal atau rasional.
(iii)                Perlaksanaan kemaslahatan tersebut tidak boleh menimbulkan kesulitan, sebaliknya mendatangkan kemudahan.
Syarat-syarat lain yang pula diajukan oleh Abdul al-Wahab al-Khalaf yang meliputi:
(i)                   Kemaslahatan tersebut haruslah kemaslahatan yang meyakinkan (hakiki), bukan kemaslahatan yang meragukan. Oleh kerana itu, harus berdasarkan kepada hasil penelitian yang mendalam.
(ii)                 Kemaslahatan tersebut harus bersifat umum, bukan bersifat khusus. Ertinya, lebih banyak memaslahatkan masyarakat secara keseluruhan daripada sekelompok orang atau orang tertentu.
(iii)                Kemaslahatan tersebut tidak boleh bertentangan dengan syariat, baik yang ditetapkan oleh nas, mahupun oleh ijma’.
Apabila syarat-syarat yang diajukan oleh kedua-dua ulama tersebut digabungkan, maka syarat-syarat al-mashlahah al-mursalah meliputi:
(a)     Keharusan menetapkan ‘kemaslahatan’ yang sesuai dengan maqashid al-syariah, semangat ajaran, dalil kulliy dan dalil qathi’e (wurud dan dalalahnya).
(b)     Keharusan menetapkan ‘kemaslahatan’ yang meyakinkan. Ertinya ‘kemaslahatan tersebut didasarkan kepada penelitian ilmiah yang cermat dan berhati-hati, sehingga tidak diragukan bahawa ia benar-benar membawa manfaat dan menghindarkan kemudaratan.
(c)     Keharusan menetapkan ‘kemaslahatan’ yang dapat memberi manfaat kepada sebahagian besar, bukan segelintir masyarakat.
(d)     Keharusan menetapkan ‘kemaslahatan’ yang memberikan kemudahan, bukan mendatangkan kesulitan dalam erti yang dapat dilaksanakan.
  1. Sadd al-Dzari’ah dan Fath al-Dzari’ah. Dalam fiqh siyasah, sadd al-dzari’ah digunakan sebagai kaedah mengendalikan masyarakat untuk menghindari kemafsadatan. Sebaliknya, fath al-dzari’ah pula digunakan sebagai kaedah memperkukuhkan masyarakat bagi mengenalpasti kemaslahatan. Sadd al-dzari’ah dan fath al-dzari’ah merupakan ‘alat’ bukan ‘tujuan’.
Contoh sad al-dzari’ah di dalam fiqh siyasah antara lain: pengisytiharan darurat oleh pemerintah atau kerajaan pada masa-masa genting dan larangan membawa senjata ketika terjadi kekacauan. Mewujudkan peraturan tentang sistem pendidikan dalam rangka membentuk manusia yang bertaqwa kepada Allah Taala merupakan salah satu contoh fath al-dzari’ah. Begitu juga dengan mewujudkan peraturan atau undang-undang yang bertujuan sebagai pencegahan juga termasuk dalam kategori fath al-dzari’ah.
Pun begitu pengendalian dan pengukuhan berdasarkan sadd al-dzari’ah dan fath al-dzari’ah boleh diubah atau diperkukuhkan, sesuai dengan keadaan dan situasi yang berlaku.
Sadd al-dzari’ah dan fath al-dzari’ah, berlakulah kaedah fiqh:
“Hukum ‘alat’ sama dengan hukum ‘tujuan’nya.”
Ertinya, jikalau tujuan suatu pengendalian dan pengukuhan sosial itu hukumnya wajib, maka cara untuk mencapai keadaan tersebut juga wajib. Begitu juga sebaliknya. Apabila tujuan yang hendak dicapai itu hukumnya haram, maka cara yang akan digunakan bagi tujuan berkenaan juga haram.
  1. Al-‘Adah. Kaedah ketiga yang banyak digunakan dalam fiqh siyasah adalah al-‘adah. ‘Adah atau ‘uruf ini ada dua jenis iaitu al-‘adah ash shohihah dan al-‘adah al-fasidah. Al-‘adah ash shohihah ialah adat yang tidak menyalahi syara’, sedangkan al-‘adah al-fasidah ialah adat yang bertentangan dengan syara’.
Al-‘adah dan al-maslahah al-mursalah saling berkait rapat, bahkan al-‘adah ash shohihah pada umumnya berfungsi untuk memelihara dan menjaga kelangsungan kemaslahatan. Perbezaan utama antara al-‘adah dan al-mashlahah al-mursalah, antara lain, ialah di dalam al-‘adah terdapat unsur waktu. ‘Adah itu dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan masyarakat. Sebaliknya dalam al-mashlahah al-mursalah, unsur waktu tidak merupakan syarat mutlak. Kemaslahatan merupakan sesuatu yang telah, sedang dan akan timbul. Dilihat daripada unsur waktu, kemaslahatan mempunyai tiga kemungkinan. Kemungkinan terjadi masa lampau, masa kini dan masa akan datang. Tukar-menukar barang dan hubungan antara negara merupakan salah salah satu contoh al-‘adah al-shohihah ini. Dalam fiqh siyasah, pencapaian tujuan dengan cara yang salah tidak diiktiraf.
  1. Al-Istihsan. Al-istihsan sering diertikan sebagai perubahan dalil yang digunapakai oleh mujtahid. Dalam hubungan itu, dalil yang pertama diatasi oleh dalil kedua yang lebih kuat. Seperti kata Ibn Arabi, “melaksanakan dalili yang kuat di antara dua dalil.”
Perubahan dalil tersebut diperlukan oleh seorang mujtahid, agar hukum yang ditetapkan sesuai dengan ajaran Islam atau ruh al-hukm.
Muhammad Ma’ruf Ad-Dawaliby telah menjelaskan perbezaan antara qiyas dan istihsan pada satu pihak dengan al-mashlahah al-mursalah di pihak yang lain. Menurutnya:
“Di dalam al Qiyas dan al-Istihsan ada perbandingan. Misalnya di dalam al-qiyas ada perbandingan antara ‘cabang’ (al-furu’) dengan ‘pokok’ (al-ashl). Di dalam al-istihsan, terdapat perbandingan antara dalil yang satu dengan dalil yang lain. Sebaliknya di dalam al-mashlahah al-mursalah perbandingan seperti itu tidak ada kerana hanya melihat kepada kemaslahatan umat.”
  1. Kaedah-kaedah Kulliyah Fiqhiyyah. Kaedah-kaedah fiqhiyyah kulliyyah sebagai teori ulama, banyak digunakan untuk melihat ketepatan perlaksanaan fiqh siyasah. Kaedah-kaedah itu bersifat umum. Oleh kerana itu, dalam penggunaannya, perlu memerhatikan pengecualian dan syarat-syarat tertentu. Sebagai contoh, kaedah al-‘adah muhakamah tidak selalu dapat diterapkan pada pelbagai macam kebiasaan. Ia hanya berlaku dalam adat yang dikategorikan sebagai al-‘adah al-shohihah. Dalam pada itu, al-‘adah al-shohihah itu harus memenuhi syarat-syarat tertentu, dan ianya banyak diulas dalam kitab-kitab ushul al-fiqh.
Berikut adalah kaedah-kaedah yang sering digunakan di dalam fiqh siyasah:
(i) Hukum berkisar bersama ‘ilat hukum. Ada dan tidak adanya hukum bergantung atas ada dan tidak adanya ‘ilat hukum.
(ii) Hukum berubah sejalan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, kebiasaan dan niat.
(iii) Menolak kemafsadatan dan meraih kemaslahatan.
(iv) Apabila dihadapkan kepada dua kemafsadatan yang saling bertentangan, maka yang perlu diperhatikan adalah menolak salah satu kemafsadatan yang kadar mudaratnya lebih besar, dan pada saat yang sama menerima salah satu kemafsadatan yang kadar kemudaratannya lebih kecil.
(v) Mengambil yang mudaratnya lebih sedikit.
(vi) Menolak kemafsadatan didahulukan daripada meraih kemaslahatan.
(vii)              Kemaslahatan umum didahulukan daripada kemaslahatan khusus. (Kaedah ini digunakan apabila ada kemaslahatan yang tidak merata)
(viii)            Jika tidak dapat melaksanakan seluruhnya secara sempurna, maka tidak harus ditinggalkan seluruhnya. (contoh terbaik adalah keadaan di negara ini apabila seorang pemimpin dipilih, gagal menepati kriteria yang ditunjukkan oleh Islam, bahkan gagal menjalankan perintah agama. Sekiranya pemimpin tidak dipilih, maka Islam dan umatnya di negara ini akan terancam)
(ix) Kemudaratan yang satu tidak dapat dihilangkan dengankemudaratan yang lain yang sama kualitinya.
(x) Yang meyakinkan tidak dapat dihilangkan dengan yang meragukan.
(xi) Yang meyakinkan dapat hilang dengan adanya hal lain yang meyakinkan pula.
(xii) Kesulitan membawa kepada kemudahan.
(xiii) Kebijaksanaan imam (pemimpin) bergantung pada kemaslahatan rakyat.
Itu adalah kaedah-kaedah yang seringkali digunakan dalam fiqh siyasah. Sebenarnya masih banyak kaedah-kaedah fiqh yang lain. Kaedah-kaedah berkenaan dapat dipelajari secara khusus dengan menggunakan kitab-kitab khas yang membahaskan al-kaidah al-fiqhiyyah. (A.Dzajuli. Kaedah-Kaedah Fiqh, Prenada Media Group, Jakarta, 2006)
Itu adalah gambaran ringkas tentang fiqh siyasah. Sebenarnya perbahasan fiqh siyasah memerlukan pengkhususan dan tumpuan. Atau lebih tepat lagi, memerlukan pembelajaran secara khusus dan ianya tidak boleh dikutip semata-mata daripada kitab yang membahaskannya. Dan seperti yang disebutkan sebelum ini, mempelajari fiqh siyasah bererti kita juga akan mempelajari tentang ilmu usul fiqh dan qawaid al-fiqh kerana kedua-dua kaedah tersebut merupakan teras kepada fiqh siyasah.
Sehingga dikatakan, seorang faqih yang menguasai fiqh siyasah khususnya dan fiqh umumnya, mampu hidup sesuai dengan kehendak syariah, walaupun tanpa undang-undang buatan manusia. Meskipun demikian, tidak bererti bahawa segala peraturan dan perundangan yang ada tidak Islamik, jikalau perundangan yang ada termasuk ruang lingkup ijtihad dan tujuannya adalah untuk mengendalikan serta mendidik masyarakat sejalan dengan prinsip-prinsip umum syariah, sesuai dengan dalil-dalil yang kulliy.
Bersambung
PENULIS: KELEMBAI BUKIT 

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:07 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III