BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 9 )


Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993



Tuan Yang di-Pertua,
80. Di zaman British, Raja-Raja Melayu bukan sahaja tidak kebal tetapi juga berada di bawah telunjuk pegawai-pegawai British. Mereka boleh dinaikkan atau diturunkan dari
takhta. Satu daripada ugutan MacMichael supaya Raja menandatangani Perjanjian Malayan Union ialah mereka akan diturunkan dari takhta jika mereka tidak menandatangani Perjanjian tersebut.

81. Dalam keadaan sebegini pun, Raja masih terus menjadi Raja. Rakyat tidak menuntut supaya Raja-Raja disingkir atau Sistem Beraja dihapuskan walaupun Raja-Raja telah menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada penjajah. Sayugia diingatkan bahawa pada masa itu Raja-Raja di Indonesia, India dan Pakistan telah ditolak oleh rakyat yang menuntut kemerdekaan. Sebaliknya rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan UMNO, telah berjuang untuk menyelamatkan Raja- Raja dan Sistem Beraja.
82. Dengan tindakan orang Melayu melawan Malayan Union adalah jelas bahawa nasib orang Melayu berada di tangan rakyat Melayu. Keselamatan orang Melayu tidak terjejas dengan Raja Melayu tidak memiliki hak untuk melakukan jenayah. Ada pihak yang berkata dengan penghapusan hak Raja melakukan jenayah, maka orang Melayu tidak akan Melayu lagi atau akan habislah keistimewaan kedudukan orang Melayu. Ini tidaklah benar. Ini adalah fitnah. Yang akan menjamin Melayu terus Melayu dan hak-hak orang Melayu terus terpelihara ialah orang Melayu sendiri. Merekalah melalui wakil-wakil dan Kerajaan yang mereka pilih yang mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memelihara dan menebus maruah bangsa Melayu.
Tuan Yang di-Pertua,
83. Seorang Raja telah menyoal kenapakah pindaan Perlembagaan ini dikaitkan dengan agama Islam sedangkan Kerajaan ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang- undang syarak dan hudud. Menurut Baginda, Baginda sedia menerima hukum-hukum Islam tanpa immuniti tetapi tidak sanggup menerima undang-undang negara yang dikatakan bukan undang-undang Islam.
84. Sama ada direstui atau tidak oleh Baginda, kedudukan Raja-Raja Melayu semenjak merdeka ditentukan oleh undang- undang, iaitu Perlembagaan. Undang-undang inilah juga yang memberi keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada Raja. Di antara keistimewaan ini ialah immuniti daripada tindakan undang-undang. Jika Raja sanggup menerima immuniti di bawah undang-undang yang bukan undang-undang Islam, kenapakah penghapusan immuniti dalam undang-undang yang sama tidak mahu diterima oleh Raja?
85. Dalam Islam ada dua prinsip yang dipegang kuat berkenaan dengan undang-undang. Yang pertamanya ialah tidak ada perbezaan antara umat Islam daripada segi penguatkuasaan hukum-hukum Islam. Raja dan rakyat adalah sama sahaja.Immuniti bagi Raja adalah bertentangan dengan prinsip ini.Menolak penghapusan immuniti supaya dikekalkan perbezaan antara Raja dan rakyat dalam undang-undang tidak mencerminkan pegangan yang kuat kepada prinsip Islam.
86. Menerima immuniti daripada undang-undang yang dikatakan bukan undang-undang Islam, tetapi menolak penghapusan immuniti ini dalam undang-undang yang sama amatlah bercanggah dengan dakwaan hanya sanggup menerima undang- undang Islam sahaja.
87. Islam memberi banyak kelonggaran. Islam mengambilkira segala faktor dan keadaan yang dihadapi oleh umatnya.Demikian dalam menunaikan ibadat pun keadaan alam sekeliling, kesihatan individu dan keadaan semasa diambilkira. Oleh itu, sembahyang boleh dilakukan tanpa gerak badan tertentu, tanpa menghadapi kiblat, didahulukan, dikemudiankan atau dicantumkan, berjemaah atau berseorangan.Rakyat Palestin yang dihalau keluar oleh Pemerintahan Zionis boleh sembahyang tanpa menanggalkan kasut. Dalam ibadat- ibadat lain kelonggaran juga diberikan. Demikian juga dengan penguatkuasaan hukum hudud. Keadaan alam sekeliling dan masyarakat perlu diambilkira. Sebab itu tidak banyak negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam yang melaksanakan hukum hudud. Yang melaksanakannya pun tidak melaksanakan dengan sepenuhnya.
88. Kerajaan tidak menolak hukum hudud. Pelaksanaannya mestilah mengambilkira keadaan negara di mana penduduk Islamnya hanya merupakan 56 peratus dan mereka masih daif dalam berbagai-bagai bidang. Pentadbiran yang menolak kelonggaran yang diberikan oleh Islam sebenarnya tidak mematuhi ajaran Islam. Islam tidak menyuruh orang Islam atau Kerajaan Islam melaksanakan hukum Islam secara membuta- tuli sehingga boleh membinasakan diri. Sebab itu Nabi menyuruh pengikutnya pergi ke Habsyah untuk menyelamatkan diri. Sebab itu Nabi berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan Islam dan perjuangan Islam.
89. Jika keadaan mengizinkan, kita akan menguatkuasakan hukum hudud. Tetapi janganlah sementara kita menunggu hukum hudud dilaksanakan, kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebenarnya jenayah yang dilarang dalam undang-undang negara ini adalah juga yang dilarang oleh agama Islam. Apakah Raja berkenaan mahu kebebasan melakukan jenayah ini hanya kerana kita belum boleh melaksanakan hukum hudud yang melarang jenayah yang sama?
90. Prinsip yang kedua ialah tidak ada kekebalan dalam Islam. Semua hukum adalah untuk semua umat. Raja yang mahu dirinya kebal daripada undang-undang sudah tentu menentang prinsip Islam ini.
Tuan Yang di-Pertua,
91. Akhirnya saya ingin menyentuh mengenai masalah menasihati Raja. Seperti yang telah saya sebutkan, Raja dikehendaki menerima nasihat Kerajaan. Di negara-negara lain di mana Sistem Beraja masih wujud walaupun tidak ada peruntukan khusus bahawa Raja bertindak mengikut nasihat
Kerajaan, namun Raja tidak pernah bertindak bertentangan dengan nasihat Kerajaan. Oleh itu, perhubungan di antara Raja dengan Kerajaan yang mewakili rakyat tetap baik. Lebih daripada itu, di negara-negara ini Raja dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat.
92. Malangnya, di Malaysia walaupun ada peruntukan bahawa Raja harus bertindak mengikut nasihat Kerajaan, tetapi pihak Raja memegang kepada tafsiran nasihat yang diterima umum — iaitu nasihat boleh diterima atau ditolak. Tafsiran ini adalah salah. Dalam pada itu, ada pula perkara tertentu yang Raja menganggap ianya tidak perlu diberi nasihat.Dengan ini banyaklah perkara yang dilakukan yang bertentangan dengan Kerajaan yang mewakili rakyat.
93. Masalah yang dihadapi hari ini berpunca daripada pendapat bahawa Raja boleh membelakangkan Kerajaan rakyat.Tindakan curang yang berlaku adalah kerana nasihat tidak dihiraukan. Tidak adanya persetujuan terhadap pindaan ini juga berpunca daripada keengganan Raja menerima nasihat.
94. Jika ini berterusan, maka Kerajaan Demokrasi Berparlimen tidak dapat wujud sepenuhnya dan sebenarnya.Inilah sebabnya Kerajaan membawa pindaan ini kepada Dewan.Jika proses ini dipertikaikan, maka keputusan boleh dibuat oleh mahkamah. Sebagai Kerajaan yang berpegang teguh kepada, dengan izin `rule of law` kita akan patuh kepada keputusan mahkamah. Di masa yang sama, perkara ini tidak harus dilihat daripada sudut undang-undang sahaja. Ia perlu dilihat daripada sudut politik juga.
95. Di waktu Raja menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada British, rakyat mengambil tindakan politik untuk mendapatkan balik negeri-negeri Melayu dan mengekalkan Institusi Raja.Walaupun daripada segi undang-undang rakyat tidak berhak kerana semua perjanjian dibuat antara British dan Raja sahaja, pihak British menghormati tindakan politik rakyat.
96. Saya berharap Raja-Raja Melayu juga akan mengambil iktibar daripada sejarah negara, khususnya sejarah Malayan Union dan menerima kehendak politik negara. Walaupun tanda- tanda menunjukkan bahawa Raja-Raja tidak menerima pindaan ini, saya berharap selepas pindaan ini diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Raja-Raja Melayu akan menerima dan meluluskan undang-undang ini.
Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 4:46 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III