Umno bertelagah, belia Terengganu terabai

 
Pertelagahan berterusan dua kem Umno iaitu kem Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dengan kem Datuk Seri Idris Jusoh dilihat antara punca rakyat negeri itu, khususnya golongan muda terbiar dan terjebak dengan dadah.

Perbalahan yang masih tidak nampak penghujungnya itu didakwa menjadikan mentadbiran Ahmad hilang fokus kepada rakyat ditambah dengan gangguan oleh kem bekas menteri besar satu lagi.

"Ahmad Said rasa ini penggal terakhir dia memerintah Terengganu, dan kumpulan Idris Jusoh akan berusaha untuk naik kembali.

"Jadi Ahmad ini sedang sibuk menggunakan segala peluang yang ada untuk mengaut apa yang dia boleh dapat," kata Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Nor Hamzah (gambar) kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri bahawa Terengganu merekodkan penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Dengan jumlah sebanyak 1,584 penagih baru berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu ianya menjadikan peningkatan sebayak 1,366.67 peratus.

Laporan AADK juga menyebut bahawa Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

Selain pertelagahan itu, Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung berkata, faktor lain adalah dasar kerajaan negeri yang tidak menekankan aspek pembangunan modal insan dikalangan belia negeri itu.

Kerajaan negeri ujarnya lebih berminat menanam sifat kebendaan dalam pemikiran anak muda sehingga mengenepikan pembangunan moral dan akhlak.

Malah bajet 2010 negeri itu juga jelasnya hanya sedikit diperuntukkan untuk program agama.

"Program Bakti Remaja anjuran kerajaan negeri bukan objektif mereka lahirkan remaja berakhlak, tetapi program ala Biro Tata Negara (BTN) yang memburukkan parti politik pembangkang.

"Kalau program itu tiga hari dua malam, setiap peserta akan dapat RM500 seorang, itu galakan kebendaan yang diberikan," katanya lagi.

Faktor lain yang juga turut menyumbang tambahnya, adalah penyerahan pusat pengajian agama kepada kerajaan pusat sehingga langsung tiada pemantauan oleh kerajaan negeri.

Lebih malang katanya lagi, kerajaan negeri juga didakwa cuba menyekat perkembangan majlis Ilmu dan program agama khususnya di masjid dan surau di negeri itu.

"Imam yang berpengaruh ditamatkan khidmat, Ustaz dan cikgu yang boleh menarik orang ke masjid, disekat dari mengajar di masjid", jelasnya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 5:15 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III