BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 1 )



Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993
Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan kali yang kedua sekarang.Tuan Yang di-Pertua, Izinkan saya memperkenal dan mengulas Akta yang telah saya sebutkan tadi.

2. Ketika negara menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin negara yang telah mendapat kemenangan besar dan sokongan padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan supaya sistem pemerintahan di negara ini ialah sistem Demokrasi Berparlimen atau `Parliamentary Democracy` dan Raja Berperlembagaan atau `Constitutional Monarchy`.
3. Sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.
4. Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.
5. Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali.
6. Orang Melayu hanya sedar akan kemungkinan mereka diketepikan dan menjadi pengemis di negeri mereka sendiri apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan menandatangani perjanjian baru dengan British yang menyerahkan negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.
7. Oleh kerana begitu mudah Raja-Raja menyerahkan Singapura, Pulau Pinang dan Pangkor kepada penjajah dan kemudiannya menyerah pula negeri-negeri Melayu, maka rakyat tidak lagi boleh menerima sistem yang memberi kuasa hanya kepada Raja dan rakyat tidak diberi peranan apa-apa dalam politik negara. Lagi pun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapok di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas negara. Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin- pemimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambilkira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.
Tuan Yang di-Pertua,
8. Sistem pemerintahan lama negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan yang ditulis. Sistem feudal ini ditentukan oleh adat yang sering dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. Jika pihak yang berkuasa melampaui adat, pegawai- pegawai istana atau rakyat sukar untuk menegur dan membuat sebarang dakwaan. Tetapi apabila keadaan menjadi terlalu buruk, kemungkinannya ialah adat diketepikan dan pemberontakan berlaku. Tetapi cara ini tetap membawa kesan yang buruk tanpa menjamin bahawa pemberontakan akan memperbaiki keadaan.
9. Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.
10. Namun semasa sistem Raja Berperlembagaan digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu, yang ketika itu menuju kemerdekaan, penggubal-penggubal perlembagaan masih percaya Raja-Raja akan patuh bukan sahaja kepada yang tersurat tetapi juga yang tersirat di dalamnya — iaitu semangat yang terdapat dalam Perlembagaan.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:15 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III