BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 2 )


Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993



11. Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan.Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat.

12. Oleh kerana Raja-Raja Melayu di zaman kolonial telah mematuhi nasihat, maka dipercayai bahawa masalah Raja bertindak di luar undang-undang tidak akan berlaku.
13. Penggubal undang-undang dan pengasas pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka juga percaya peruntukan bahawa Raja tidak boleh didakwa di mahkamah hanyalah sebagai petanda kemuliaan Raja dan bukan sebagai hak untuk melakukan jenayah. Sudah tentu penggubal Perlembagaan dan pengasas kemerdekaan negara tidak bermaksud peruntukan ini memberi hak kepada Raja untuk membelakangkan undang-undang civil dan criminal. Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy tidak pernah memberi keistimewaan atau privilege kepada Raja untuk melakukan jenayah. Tetapi jika Raja tersalah semasa menjalankan tugas rasmi, Raja adalah bebas daripada tuduhan. Ini adalah kerana yang bertanggungjawab dan boleh didakwa ialah Kerajaan.
14. Dalam usaha menentang Malayan Union dan mengembalikan negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat kepada `status quo ante` iaitu keadaan sebelum Perang Dunia Kedua, rakyat telah memainkan peranan yang penting walaupun tidak diperuntukkan oleh undang-undang. Adalah jelas kepada rakyat pada masa itu bahawa Raja tanpa sokongan rakyat mudah dikuasai oleh pihak penjajah dan pihak-pihak lain. Justeru itu, rakyat perlu diberi hak dalam politik dan pentadbiran negara. Peranan rakyat mestilah ditentukan oleh undang- undang.
15. Memandangkan hakikat ini dan sekali lagi dengan mengambil contoh dari Britain, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka memilih sistem Demokrasi Berparlimen. Rakyat akan melantik wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri yang menjadi penggubal utama undang-undang dan dasar-dasar negara. Ini menentukan rakyat boleh memainkan peranan mereka dengan tertib dan tersusun.
16. Tetapi sekali lagi mengikut sistem di Britain, undang- undang hanya menjadi sah setelah ditandatangani oleh Raja.Di Britain, ini tidak menjadi masalah kerana Raja tidak mungkin menolak nasihat Jemaah Menteri. Tetapi di Malaysia perkataan nasihat, yang penggubal perlembagaan percaya akan mempunyai makna yang sama seperti di Britain dan juga di zaman penjajah, tidak ditafsirkan dengan jelas. Oleh itu pihak Raja boleh menolak nasihat Kerajaan.
17. Jika Kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi nasihat Kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini bererti Demokrasi Berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa sepenuhnya. Dalam perkara-perkara tertentu bukan sahaja persetujuan Yang di-Pertuan Agong diperlukan, tetapi juga persetujuan Majlis Raja-Raja.
18. Walaupun wakil rakyat bebas bercakap dalam Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri mengenai apa juga tajuk, tetapi mereka tidak boleh menyentuh diri Raja-Raja kerana sebarang kritikan atau teguran terhadap Raja boleh ditakrif sebagai hasutan dan mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Peruntukan ini adalah hasil pindaan yang dibuat pada tahun 1971. Sebelum ini, teguran terhadap Raja boleh dibuat di dalam dewan. Di Britain dan di negara-negara lain, ahli-ahli Parlimen bebas menegur atau mengkritik Raja.Adalah jelas bahawa menegur dan mengkritik Raja tidak menghapus kedaulatan Raja.
19. Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini.
20. Dengan kemungkinan Raja menolak nasihat serta bebas daripada teguran dan sebarang tindakan keadilan, maka Raja sebenarnya bukan Raja Berperlembagaan lagi tetapi menjadi Raja mutlak. Sekali lagi Demokrasi Berparlimen tidak wujud kerana tidak ada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Raja yang tidak menerima nasihat Kerajaan rakyat dan melakukan kesalahan.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:17 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III