BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 8 )

Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993








Tuan Yang di-Pertua,
71. Memang ada orang tertentu yang seolah-olah ingin memberi kuasa dan mempertahankan Raja apabila Raja melakukan jenayah. Mereka cuba memesongkan fikiran rakyat dengan menuduh bahawa Kerajaan bercadang menghapuskan Sistem Beraja.
72. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak bercadang sama sekali untuk menghapuskan Sistem Beraja. Ini jelas daripada pindaan yang dikemukakan.Sebarang cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditafsir sebagai hasutan dan Kerajaan akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja yang mengesyor atau bertindak untuk menghapuskan Sistem Beraja.
Tuan Yang di-Pertua,
73. Kerajaan sedar bahawa rakyat, khususnya orang Melayu menerima dan menyokong Institusi Raja-Raja Melayu. Tuduhan yang dibuat bahawa Kerajaan bercadang untuk menghapuskan Sistem Beraja adalah kerana kepentingan politik semata-mata.Kerajaan yang mewakili majoriti orang Melayu dan kaum-kaum lain akan mematuhi kehendak rakyat dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai.
74. Oleh kerana jelas majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini masih menghendaki Sistem Beraja, khususnya Sistem Raja Berperlembagaan, maka Kerajaan akan menentukan sistem ini dilindungi oleh Perlembagaan.
Tuan Yang di-Pertua,
75. Ada pihak yang berpendapat bahawa Raja Melayu diperlukan untuk melindungi orang Melayu. Peristiwa Perjanjian MacMichael dan Malayan Union jelas membuktikan bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Jika tidak kerana mereka bangun dan menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan menjadi pengemis di negeri sendiri.
76. Percubaan pihak yang cuba menakutkan orang Melayu terhadap pindaan ini adalah kerana mereka ingin menggunakan sentimen kaum untuk kepentingan parti mereka. Sejarah mereka tidak boleh meyakinkan kita bahawa mereka ikhlas.Mereka inilah yang telah cuba melemahkan orang Melayu dengan memecahbelahkan UMNO dan mengadakan kerjasama dengan pihak- pihak tertentu yang diragui oleh orang Melayu.
77. Apakah hanya dengan menghalang Raja daripada melakukan jenayah maka Raja akan hilang kedaulatan dan tidak lagi menjadi Raja? Pendapat bahawa Raja hanya boleh menjadi 33 Raja jika ia berhak dan diberi keistimewaan melakukan jenayah adalah bertentangan dengan konsep Raja sebagai punca undang-undang. Di zaman dahulu di Barat, Raja memang mempunyai hak melakukan jenayah. Umpamanya mengikut kepercayaan kepada konsep, dengan izin, `Droit du seigneur` (right of the Lord) atau Hak yang di-Pertuan, Raja berhak bermalam dahulu dengan semua pengantin baru.
78. Tetapi di Barat pun semua hak ini telah dihapuskan.Sebab itu di negara-negara Barat yang mengekalkan Sistem Beraja, tidak ada kekebalan secara khusus bagi Raja. Jika ada pun sebutan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, ini hanyalah formaliti sahaja. Raja, Kerajaan dan rakyat tahu bahawa jika Raja melakukan jenayah, ia akan dihadapkan ke mahkamah, dan ia akan diturunkan dari takhtanya. Justeru itu, Raja di negara Barat tidak akan dengan sengaja melakukan jenayah.
79. Walaupun jelas Raja-Raja di Barat tidak kebal atau im- mune daripada tindakan undang-undang dan bukan undang- undang, Raja masih tetap juga Raja. Mereka masih dihormati dan disegani.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 2:29 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III