Amaran Perkasa: Kami kekal NGO, tapi boleh tentukan nasib ahli politik

Pertubuhan bela hak Melayu Perkasa tetap akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan, tetapi memberi amaran mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan seseorang ahli politik dan parti politik.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, pasti pertubuhan berusia dua tahun itu yang ditubuhkan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas tidak akan menjadi parti politik.

“Perkasa tidak akan menjadi sebuah parti politik. Itu yang pasti. Tapi Perkasa boleh menentukan kedudukan seseorang pemimpin politik,” kata beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Naziz Aziz kepada Awang Selamat petang semalam.
“Itu amaran Perkasa, tak payahlah Nazri menggesa Perkasa menjadi parti politik.

“Kami tahu apa kami lakukan. Kami ingin satukan orang Melayu. Kami tolak pemimpin Melayu yang memecahbelahkan orang Melayu,” kata Syed Hassan.

Syed Hassan menambah, pihaknya akan tolak parti-parti yang akan merugikan orang Melayu.

“Perkasa tidak mahu buang masa melayan budak yang sedang menangis.

“Otak kami tidak senget. Kami tahu nak bawa hala tuju Perkasa,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Hassan juga menasihatkan Nazri agar menghentikan tindakannya menyerang Perkasa.

“Perkasa  tidak rugi hasil serangan Nazri, malah tambah kuat lagi di kalangan orang Melayu.

“Dan, mungkin Nazri juga tidak rugi apa-apa. Tapi yang rugi pastinya Umno jika ada pemimpin dalam Umno yang iri hati dan perkecilkan peranan Perkasa  seperti Nazri,” katanya.

Syed Hassan juga meminta agar jangan menuduh Perkasa tidak faham konsep 1 Malaysia.

“Kami faham dengan cara kami seperti yang dimaklumkan oleh perdana menteri di Parlimen sebelum ini.

“Tapi ada juga pihak lain yang memahami 1 Malaysia dengan cara fahaman yang lain dari kami.

“Kalau pelbagai pihak memahami 1 Malaysia dengan istilah berbeza, maknanya 1 Malaysia mendatangkan masalah,” katanya.

Syed Hassan juga berkata, Nazri sendiri juga tidak faham apa itu 1 Malaysia.

“Janganlah sebut 1 Malaysia itu satu dasar ataupun satu konsep.

“(Konsep) 1 Malaysia hanyalah satu slogan saja. Ia bukan satu dasar. Kami menyokong apa saja perdana menteri ingin lakukan untuk menyatupadukan rakyat negara ini yang berbilang kaum,” kata beliau.

Dalam kenyataan terbaru, Nazri, yang secara konsisten mengkritik Perkasa dan kepimpinannya, mencabar Ibrahim, yang memberi amaran kepada tiga pemimpin kanan Umno termasuknya dirinya, supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang.

Nazri menegaskan, ugutan Ibrahim kelmarin sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap “rasisme” yang dibawa oleh Perkasa.

“Saya mahu Ibrahim Ali mendedahkan apa saja rahsia yang beliau ada tentang diri saya. Saya mencabar beliau.

“Lebih baik beliau mendedahkan secepat mungkin kerana saya akan terus menyerang Perkasa dan saya akan terus melawan beliau,” kata Nazri.

Di Pasir Mas kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nazri dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:12 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III