Lahiriah UMNO-BN senang

Ada pemimpin UMNO-BN kerana keterlaluan gembira dengan keputusan pilihan raya kecil dan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak menghitung-hitung bakal keputusan PRU13 walaupun usia parlimen sekarang masih ada dua tahun lagi. Terdapat juga yang bermimpi Kelantan dan Pulau Pinang dalam bahasa Speaking: ‘would fall back into BN’s hands…kedua-dua akan dirampas oleh BN’. Saya UMNO dan mahu BN menang tetapi saya juga seorang realis yakni yang berpegang pada kenyataan di padang; berfikir, bertindak dan berharap berpandu kepada situasi kini: antara cita-cita dengan hakikat. So, get real – menghakikikan (cita-cita) itu sukar sekarang juga dalam PRU13.


Saya yakin andainya PM Najib Razak mengadakan PRU13 sekarang UMNO-BN – walaupun ketandusan sokongan Cina – boleh menang hatta dengan dua pertiga pun syaratnya antara 5-10 peratus pengundi Peribumi yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) 2008 kembali menyokong BN. Kenapa mahu cepat menguji, apa perlunya mengejar dua ekor burung dalam rimba? Lebih waras jaga dan pelihara seekor burung dalam sangkar dengan baik. Saya tidak ada maklumat rahsia yang menunjukkan keadaan ekonomi mungkin lebih buruk dari sekarang tahun hadapan. Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) berlangsung sebelum mandat BN tamat. Mungkin bijak kalau kita tunggu dan melihat perkembangan antara sekarang dan ketika itu atau ke arah akhir tahun. Kata seorang akademik yang speaking: “PM should exhaust his opponents… membuat lawannya sangat letih, penat sekali…”. Tambah seorang intellectual yang non-speaking: “mengeringkan dana lawan. Mereka tidak akan menyerah diri tetapi mereka akan kelesuan, tindakan-tindakan mereka akan surut; sumber tenaga dan kewangan diguna terlalu awal dan banyak”. Dua tahun satu masa yang panjang. Parti pemerintah sumbernya tiada hadkan?

Apa pun undi Cina majoriti kekal dengan DAP. Mereka tahu risikonya. Mereka tidak peduli tentangnya kerana pencapaian matlamat geopolitik yang lebih besar dan lama terpendam lebih terpenting. Kekuatan DAP – suka duka dilihat sebagai parti perkauman, anti-Melayu, anti-Islam, anti-tradisi dan adat oleh majoriti pengundi Peribumi juga keputusan pilihan raya di Sarawak – membantu UMNO kembali gagah! Manakala pula PKR dan PAS ditilik, suka atau tidak, sebagai parti kedua atau ketiga dalam PR. Kekuatan DAP bagai senapang dua muncung!

Kedudukan parti dalam parlimen sekarang: BN 137, PR 76, 9 MP bebas. Mengikut seorang komentator 35 dari 76 kerusi PR akan hilang jika hanya 5 peratus sahaja pengundi Peribumi tiba-tiba berubah fikiran dalam PRU13. Ia bermakna kalau itu berlaku (yakni perubahan 5 peratus atau swing), satu perkara yang tidak mustahil, maka BN boleh memenangi 160 kerusi (campur tolak) dalam PRU13 walaupun sudah diambil kira DAP kononnya akan menang 5 kerusi parlimen di Sarawak. (Joceline Tan, Sunday Star 1 Mei 2011). Sementara pengaruh DAP berkembang, Pas dan PKR nampaknya menghadapi kesukaran mengekalkan sokongan yang mereka dapati 2008. Sebab musababnya banyak: terulung sebuah pakatan yang kekuatannya bergantung pada sebuah parti, pada hakikatnya parti Cina mana bisa menjuarakan dan memelihara kepentingan Peribumi dan kesucian Islam. Benar mereka yang taat kepada PAS dan PKR, apa jadi pun, tidak akan berganjak tetapi pengundi Peribumi atas pagar sedang menimbang, menghitung siapa yang lebih berkemampuan menjaga kepentingan Pribumi dan Islam, adat istiadat: BN yang diketuai oleh UMNO atau PR yang dikepalai DAP?

Mengikut teropong buluh saya, kalau keadaan hari ini kekal hingga Parlimen dibubar, BN mudah memenangi majoriti dua pertiga. Lagi senang kalau taraf hidup rakyat naik tetapi sara hidup tidak melambung tinggi! Kalau pemimpin UMNO cerdik: Najib bukan Badawi; Mukhriz bukan Khairy berilah tumpuan dan perhatian pada negeri dan kawasan yang benar-benar ada potensi UMNO boleh merampas kembali – Perak (melalui pilihan raya bukan kudeta), Kedah (Menteri Besar Azizan Razak, saya dengar disenangi); Selangor (siapa wira UMNO yang credible, bakal MB lawan Khalid Ibrahim?). Saya bersetuju dengan Joceline Tan: “...a two-thirds majority mandate is within Najib’s reach and so is Kedah. He (Najib) is not going to lose too much sleep over Penang and Kelantan... dua pertiga berkemungkinan besar, begitu juga Kedah. Tidur Najib tidak akan terganggu kerana Kelantan dan Pulau Pinang.”

Memperolok-olokkan kawan, lawan, calon, ketua parti lawan menghidupkan ceramah, memeriahkan kempen tetapi janganlah pula keterlaluan nanti akan dilihat lebih daripada hiburan dan jenaka. Orang yang menjadi target atau dalam loghat Kelantan, ‘orang yang kena’ mungkin tidak tersinggung tetapi penyokong mereka dan pengundi atas pagar, terutama di pantai timur, mudah berasa hati. Politikus boleh menghina satu sama lain walaupun bertujuan melukakan hati dan menjatuhkan maruah tetapi hindarilah melempar kehinaan pada pengundi kerana pengundi kini bukan bodoh lagi. Kata Speaking, “politicians can insult each other’s intelligence as much as they like, just so long they don’t insult ours (jangan hina kebijaksanaan anda, saya dan rakyat).” Saya telah memberi ringkasan ungkapan Bahasa Inggeris dalam bahasa ibunda untuk pembaca yang non-speaking.

Di Sarawak, BN ada Taib Mahmud (semenjak 1981), di Kelantan Pas ada Tok Guru Nik Aziz (semenjak 1990), di Johor UMNO ada Ghani Othman, juga sudah lama. Pada saya, berapa lama mereka memegang jawatan tidak menjadi hal; tidak menjadi isu asalkan mereka efektif dan seseorang itu ‘a winner – yang boleh menang’. Biasanya pengundi menerima kenyataan: contohnya di Sarawak, Kelantan dan Johor. Dr Mahathir Mohamad mentadbir kita selama 22-23 tahun. Lihat hasilnya. Lee Kuan Yew di Singapura sungguhpun usia tidak lama lagi menjangkau 90 tahun menang tanpa bertanding. Mindanya terus cair, tidak beku seperti setengah manusia yang usianya separuh atau satu pertiganya. Begitu juga minda Dr Mahathir.

Bercakap tentang cair, pada suatu majlis minggu lepas, isteri tua (yang dimadukan) telah berubah; sudah habis merajuk. Hubungan suami isteri yang sekian lama dingin sekarang telah cair; tidak tegang lagi, tidak kekok lagi. Syukur Alhamdulillah kerana kedua sahabat saya semenjak mereka belum bernikah lagi.

Tiada kawan, musuh dan saudara mara yang kekal dalam dunia politik, diplomasi, bisnes juga persahabatan. Apa yang terus wujud dan sentiasa akan wujud ialah kepentingan diri yang mengikut Machiavelli, Lord Palmerston dan ahli-ahli falsafah politik lain, wajib dijunjung kalau mahu sukses dan sampai kemuncak sesuatu yang diingini. Peperangan, pembunuhan dan satu ketika perkahwinan pun dilihat sebagai kesinambungan muslihat diri. Begini pun ramai yang tidak muak-muak berpolitik!

Lazimnya ramai bijak selepas peristiwa berlaku (hindsight). Ada juga tidak demikian, contoh: selama 54 tahun kita merdeka (mulai 31 Ogos) UMNO hanya memerintah Kelantan kurang lebih satu dozen tahun sahaja. Sepatutnya, UMNO manfaat dari kegagalan 42 tahun itu. Saya sedar saya pun demikian. Saya tidak sampai kemuncak potensi saya kerana keadaan luar biasa berlaku dan secara mengejut pula. Di luar dugaan. Saya, mengikut Speaking: “squandered good opportunities... telah membazir masa, bakat dan peluang.” Benar. Begitu pun saya damai. Saya telah buat keputusan bagaimana saya mahu memaksimumkan nikmat sisa usia saya dengan amal jariah, mengembara dan membaca kitab! Bagaimana pula anda?

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 2:18 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III