UMNO, Pas macam budak-budak

SETUJU betul saya dengan pendapat bekas seorang pegawai tinggi kerajaan yang kini sudah tiga tahun bersara, dan amat meminati burung. Dia suka masuk hutan membawa kamera untuk mengambil gambar burung. 

Dia tidak mahu menyerabutkan kepala, perut, jantung dan paru-paru kerana politik terkini, tetapi tidak mengelak apabila ditanyakan mengenai dua parti politik utama negara iaitu UMNO dan Pas. 

Katanya, UMNO dan Pas ada satu persamaan paling ketara: “Dua-dua macam budak-budak.” Dua parti terunggul itu saling kata-mengata, ejek-mengejek, saling jeling lidah, saling tonggeng buntut. “Itulah perangai budak-budak!” 

Sebab itu beliau lebih suka habiskan masa hujung minggu meredah belukar dan hutan untuk memerhatikan perangai burung. Katanya: “Daripada tengok budak-budak berkelahi lebih baik tengok burung yang hidup aman damai dan saling berbaik sangka...” 



* SEHARI dua ini timbul lagi cakap-cakap mengenai kerjasama dan penyatuan UMNO-Pas. Bagi saya ini ‘video’ lama diulang tayang. Sudah berpuluh tahun dibangkitkan, isu ini timbul-tenggelam mengikut masa. 

Orang politik mungkin mempunyai pandangan berbeza terhadap video yang telah berkali-kali diulang tayang. Tetapi bagi rakyat biasa mereka sudah bosan dan muak dengan isu ini, sebab semuanya hanya banyak cakap, tetapi “habuk pun tak ada!” 

Macam mana hendak bersatu kalau keduanya saling tuduh-menuduh dan caci-mencaci. UMNO tuduh Pas bersekongkol dengan DAP, konon parti Cina itu hendak menekan Pas, dan tidak akan setuju dengan negara Islam. Pas pula kata UMNO lagi lama bersekongkol dengan MCA, dan nyata MCA pun menekan UMNO. 

UMNO kata komponen PR – PKR, Pas DAP – tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain, sebab itu saling tidak sebulu. Pas pula tuduh komponen BN tidur sekelambu, tetapi saling bergaduh hingga kelambu hampir pecah. 

Selalu juga UMNO kata Pas tidak ikhlas, alasannya blah, blah, blah. Pas pun kata UMNO tidak ikhlas, blah, blah, blah. Pada pandangan orang biasa, kedua-duanya sama-sama tidak ikhlas. 


* ISU penyatuan UMNO-Pas ini semakin kerap dibangkitkan setelah PRU-12 yang melihat BN diteraju UMNO semakin tidak popular dalam kalangan pengundi. Banyak kerusi dan kubu kuat BN jatuh ke tangan PR. 

Tsunami politik 2008 itu menyebabkan Pulau Pinang, Kedah, Perak (untuk beberapa bulan), Selangor dan Kelantan diperintah oleh PR. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pun terus dalam genggaman pembangkang. 

Konon undi Melayu berpecah maka Melayu pun berpecah. Oleh sebab itu perlu disatukan semula orang Melayu, dan salah satu caranya ialah dengan menggabungkan UMNO dan Pas. 

Pada satu ketika gah ‘1Malaysia’ UMNO dan Pas akan bekerjasama. Beberapa pemimpin utama kedua parti sudah membayangkan kesediaan untuk bersatu. Tetapi akhirnya perkara itu ternyata cakap kosong. 

Sebenarnya UMNO dan Pas tidak perlu bergabung, tidak payah susah-susah untuk bersatu. Semua orang nampak bahawa kedua parti itu mempunyai kelebihan – dan kekurangan – masing-masing. 

Kelebihan-kelebihan itu hendaklah terus diperkuat, dan sekiranya ada mana-mana kekurangan perbaiki dengan sungguh-sungguh. Lagi pun menyatukan UMNO dan Pas bukan jaminan orang Melayu akan bersatu. 

Hakikatnya, orang Melayu sekarang berfikiran lebih terbuka, lebih global. Mereka tidak boleh lagi diumpan dengan gula-gula seperti dulu dan akan memilih calon-calon yang mereka lebih yakin. 

Keyakinan terhadap calon itu tidak sangat kerana parti diwakili, tetapi lebih kerana sikap dan peribadi calon. Mereka mahu calon yang bersih, tidak korup, tidak sombong, tidak kaki perempuan, tidak kaki botol dan tidak juga kaki-kaki lain. 

Jadi hentikan sahaja cakap-cakap mengenai penyatuan UMNO-Pas. Jangan buang masa dengan acah-acah tidak berfaedah ini. Daripada sibuk berhujah dan mencaci sesama sendiri, lebih baik tumpukan usaha membantu rakyat. Rakyat mahukan sesuatu yang konkrit, bukan sekadar air liur. 


* AKHIR kalam, saya diberitahu benda yang sama oleh beberapa teman rapat pada majlis ‘Malam Anugerah Wartawan’ MPI-Petronas di PWTC, beberapa hari lalu. 

“Nampak jelas, terang,” kata seorang daripada mereka. Seorang lagi mengangguk sambil menghirup kopi dan menambah: “Boleh tahan besarnya...” 

Beberapa hari sebelum itu pun ramai kawan yang terserempak baik di stesen LRT, pasar raya, restoran nasi kandar, hatta ketika sembahyang Jumaat di masjid, menyebut tiga perkataan, iaitu ‘jelas’, ‘terang’, ‘besar’. 

Ada juga lebih bersemangat dan menukar perkataan ‘besar’ itu menjadi ‘nalla’ sambil memegang dan menggoncang-goncang lengan. 

Maka saya berkesimpulan bahawa video seks yang salinan asalnya masih dalam simpanan polis, kini sudah beredar kepada umum. Berdosalah sesiapa sahaja yang mencetak rompak, memiliki dan mengedar video tersebut!

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 1:13 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III