35,000 kes orang hilang memalukan

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa statistik yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kira-kira 21,000 kes dapat diselesaikan daripada 35,000 lebih kes orang hilang suatu yang memalukan, bukan membanggakan.
Khalid mendakwa demikian sebagai respons kepada jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di dalam dewan bahawa pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

"Cara beliau memberikan jawapan dalam dewan tadi seolah-olah beliau bangga dengan pencapaian ini Ini bukan tahap pencapaian yang kita seharusnya rasa bangga.

"Kemungkinan daripada 21,000 kes yang selesai itu, bukan semuanya diselesaikan oleh pihak polis sebaliknya orang yang hilang itu sendiri yang kembali selepas tiga hari. Tapi polis mengaku mereka yang selesaikan," kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Khalid juga berkata, beliau bimbang sekiranya pencapaian sedemikian menjadi kebanggaan KDN, prestasi pihak polis akan terus merosot.

"Kita khuatir kalau inilah tahap pencapaian yang dibanggakan oleh pihak KDN, da merupakan satu KPI yang boleh diisytiharkan dengan penuh bangga dalam Parlimen, kita huatir prestasi polis akan semakin merosot kerana tidak ada satu standard atau tahap pencapaian yang lebih tinggi ditetapkan," katanya.

Menurutnya juga, jawapan Hishammuddin itu menunjukkan sikap acuh tidak acuh kerajaan Barisan Nasional.

"Ini menunjukkan sikap acuh tak acuh kerajaan BN dalam semua kes termasuk kes orang hilang rasuah, jenayah dan lain-lain lagi," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus membangkitkan isu itu di Parlimen selain mendesak satu siasatan awam diadakan bagi mencari penyelesaian kepada kes jenayah terutamanya dalam kes orang hilang ini.

"Ahli parlimen Pakatan Rakyat akan menjadikan ini satu isu yang akan terus dibangkitkan dan kita akan mendesak diadakan satu siasatan awam, kajian atau jawatankuasa khas untuk mencari punca sebenar kenapa begitu besar rakyat Malaysia hilang," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dalam sesi soal jawab menjawab soalan ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang megenai laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tindakan-tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 9:45 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III