Konsert: Kerajaan suburkan gejala sosial

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, amat mendukacitakan apabila gejala sosial semakin membiak, usaha menyuburkannya digiatkan lagi.

Katanya, barah yang ada ditambah lagi dengan racun yang bakal dibawa oleh pemerintah sendiri, iaitu budaya ‘gay’ yang bakal ditonjolkan melalui artis remaja Amerika, Adam Lambert dalam konsert pada 14 Oktober ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Tidak ada guna membina sekolah untuk remaja hamil yang terlanjur (sekolah harapan), ataupun lawatan ke Belgium untuk mendapatkan sistem pencegahan masalah ini sekiranya dalam masa yang sama budaya negatif ini dibawa masuk,” ujar beliau i dalam blognya.
Tambahnya, seperti sedia maklum, Adam Lambert merupakan penyanyi yang amat tidak bermoral sehinggakan rancangan televisyen Good Morning America terbitan ABC di Amerika Syarikat pun membatalkan penampilannya di udara kerana menolak budaya liar penyanyi gay itu.

“Nampaknya warga Amerika lebih sensitif dalam soal budaya dan sosial sedangkan mereka bukannya sebuah ‘Negara Islam’ seperti Malaysia,” ujarnya sinis.

Baginya, kesan daripada konsert itu akan menjadi suatu wabak dan ikutan remaja Melayu Islam untuk ‘menghalalkan’ budaya yang dilaknat oleh Allah.

“Ambillah iktibar dari sirah kaum Nabi Luth yang akhirnya ditimpakan bala bencana yang dahsyat oleh Allah dan kesannya boleh dilihat hingga hari ini.

“Kerana itu, Allah menyeru untuk kita bermusafir melihat kesan penderhakaan dan pemesongan dari perintah Allah,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Justeru, ujar beliau sepatutnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pergi melawat tempat-tempat yang diturunkan azab atas kemurkaan Allah itu dan bukannya melawat tempat lain seperti Belgium untuk mendapat formula menangani masalah sosial.

Katanya lagi, lawatan tersebut hanyalah retorik kerana usaha untuk menangani gejala sosial yang tidak serius, ditambah pula dengan konsert Adam Lambert yang akan berlangsung nanti yang pastinya akan menambahkan masalah sosial yang makin parah di kalangan remaja dan anak muda sekarang.

Maka, tegasnya Gamis membantah sekeras-kerasnya konsert yang akan dianjurkan itu dan memohon pihak kerajaan untuk menarik balik permit yang diberikan.

“Jika tidak mampu berbuat demikian, saya syorkan agar mahasiswa dan masyarakat umum memilih kerajaan lain yang berani dan boleh menghalang budaya liar dan jijik ini pada masa akan datang.

“Selamatkan generasi muda kita sebelum terlewat,” ujarnya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:47 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III