Saya memerhatikan dengan penuh teliti apa yang sedang cuba dilakukan PKR. Apa yang saya maksudkan ialah percubaan PKR untuk membawa dan merayakan demokrasi kepada semua ahli-ahlinya melalui konsep 'satu ahli satu undi'.
Sekali imbas kelihatan ia amat radikal. Radikal dalam konteks kewujudan demokrasi di Malaysia. Untuk pertama kalinya ahli parti PKR boleh memilih ketua dari ranting, cabang hingga ke pucuk pimpinan pusat. Memang radikal.
Syabas! Tahniah! Kerana memiliki niat untuk merayakan demokrasi dalam parti. Syabas kerana memiliki niat untuk memperkasakan ahli-ahli dengan hak pengundian mereka.
Niat bukan hakikat. Niat tidak memiliki apa-apa makna. Berniat hendak pergi ke Mekah untuk menunaikan haji, bunyinya baik dan gah. Tetapi kalau tidak menyimpan duit atau memohon pasport antarabangsa - niat ini tidak memiliki apa-apa makna.
Masalah yang dihadapi oleh PKR ialah pucuk pimpianannya cuba membawa demokrasi dengan membezakan diri mereka dengan demokrasi yang diamalkan oleh musuh politik mereka. Ini adalah kesilapan besar. Mereka ingin 'meng-ada-kan' atau mencipta demokrasi.
Kewujudan demokrasi bukan melalui perbandingan dengan musuh politik. Demokrasi wujud bukan kerana adanya fasisme. Demokrasi wujud bukan kerana adanya diktator. Sistem satu ahli satu undi dalam PKR seharusnya diwujudkan bukan kerana United Malays National Organisation menjalankan sistem undi perwakilan dalam pemilihan pimpinan mereka.
Jika kerana ingin berbeza dari United Malay National Organisation maka itu hanya reaksi. Demokrasi bukan reaksi. Kalau demokrasi sebagai langkah reaksi maka ini bukan demokrasi tapi 'reaksionari'. Demokrasi adalah wadah yang diajukan di mana idea, pandangan akan didebat dan dicanai secara terbuka.
Jadi parti taukeh
Demokrasi bercita-cita untuk mewujudkan warga yang memiliki ketrampilan intelek dan keilmuan untuk berfikir, berhitung dan mengambil tindakan serta keputusan secara rasional setelah menilai semua fakta.
Sayugia diingatkan pemilihan satu undi untuk satu ahli ini belum menjamin kelahiran demokrasi. Bunyinya memang lunak, satu ahli dapat memilih dari bawah hingga ke atas. Hebat!
Apakah ini hakikat atau hanya satu ilusi?
Jangan lupa Hitler juga diundi untuk dijadikan Cancelor Jerman. Jangan lupa Mussolini juga diundi untuk memimpin National Fascist Party. Jangan lupa barisan Najib-Rosmah yang mentabir Malaysia hari ini juga diundi untuk ke Putrajaya.
Pengundian tidak menjamin demokrasi. Pengundian sahaja tidak memiliki makna yang hakiki.
Sistem baru yang sedang dicuba oleh PKR ini amat jelas bukan mengembangkan demokrasi malah menguncupkan demokrasi. Kalau sebelum ini ahli-ahli PKR memilih pimpinan mereka melalui perwakilan, kali ini pengundian di seluruh negara, di setiap cabang. Seharusnya demokrasi dilihat berkembang. Hakiktnya mengempis.
Saya berani berkata sedemikian kerana dari apa yang saya perhatikan, besar kemungkinan PKR akan menjadi parti tauke - parti orang-orang kaya. PKR akan menjadi parti untuk mereka yang memiliki dana dan modal. Rintik rintik dan awan hitam ini telah mula kelihatan dimana PKR berkemungkinan akan dibajak.
Watak reject dan recon
Pasti ada ahli PKR atau gedebe PKR akan menganggap kenyataan saya ini lucah. Kenyataan kurang ajar dari seorang NGI (Individu Bukan Kerajaan) yang bermazhab Marxist Groucho. Mungkin saya dianggap kurang siuman kerana berani menulis sedemikian. Biar saya berikan hujah-hujah kenapa saya berpendapat sedemikin.
Sistem pemilihan PKR yang sedang diperkenalkan hari ini amat terbuka. Keterbukaan ini dihebohkan sebagai merayakan demokrasi. Ini silap. Sebenarnya keterbukaan ini hanya telah membawa masuk ramai ahli-ahli baru dalam PKR. Ini memang di alu-alukan. Dalam masa yang sama keterbukaan ini telah juga menjemput masuk pelbagai jenis hantu dan jembalang dalam PKR.
Hasilnya, keterbukaan ini telah membawa masuk pelbagai gedebe, kaki pukul atau kaki buang kerusi. Para gedebe ini masuk dengan membawa penyokong-penyokong mereka. Ini samalah seperti Don Barzini dari South Bronx datang berjumpa Don Vito Corleone di Lower Manhattan dengan menjanjikan kaki pukul dan penyokong yang baru.
Kerana ingin berbeza daripada musuh politik, maka PKR tidak menapis kemasukkan ahli ahli baru ini. PKR telah membenarkan ahli-ahli yang tidak dikenali hujung pangkal, tidak diduga kesetiaan dan jauh sekali pemahaman tentang perjuangan untuk mengundi dalam sistem satu ahli satu undi.
Hasilnya, laporan di media dan laman web adalah manifestasi daripada sistem keterbukaan ini. Melalui sistem pemilihan baru ini , watak-watak reject dan recon dan para gedebe yang sedang bergelawak (berkeliaran) dan berkuntau (berlawan) untuk berebut kuasa. Justeru kemungkinan PKR akan dibajak tidak mustahil.
Pemilihan yang sedang berjalan sekarang ini akan dibayar dengan harga yang mahal. Dalam erti kata lain, dengan ringgit dan sen. PKR akan mengeluarkan dana yang banyak untuk memastikan pengundian satu ahli satu undi ini berjalan lancar. Untuk saya ini satu kesanggupan yang wajib kita semua hormati.
PKR sedang mengajukan politik baru. Dalam politik baru ini, warga wajib sedar dan sanggup membayar dengan nyawa dan darah untuk merampas ruang demokrasi dan memperkasa hak kita sebagai individu.
Pelaburan kaum pemodal
Tetapi, apa yang ingin saya huraikan bukan bab ini, tetapi bab perbelanjaan berkempen untuk ahli-ahli PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon. Satu ahli satu undi memang kedengaran romantik, tetapi hakikatnya tidak seromantik bunyinya.
Sistem satu undi untuk satu ahli ini menjadi beban yang mahal. Dengan menyenaraikan nama sebagai calon dan berharap akan dipilih adalah kerja politik gila dalam budaya terkini PKR. Bakal calon wajib menonjol diri dengan berkempen. Berkempen di seluruh Malaysia belanjanya bukan kecil. Malah untuk dipilih menjadi ketua cabang juga memerlukan dana.
Bagaimana pula untuk mereka yang memiliki ciri dan watak pemimpin yang unggul dan telah terduga dalam pejuangan tetapi tidak memiliki modal untuk berkempen? Sosok dan watak sebagini yang amat diperlukan oleh PKR. Tetapi tanpa modal dan dana, sosok ini akan terpinggir dan tersisih.
Tunggu sebentar! Nanti dahulu! Jika sosok yang tidak memiliki dana tetapi masih ingin menawarkan diri maka sosok ini wajib bertemu dengan para tauke dan tuan besar yang memiliki dana. Sosok ini mesti sanggup merendah diri untuk menjadi kuda tunggangan para tauke, tidak kiralah tauke judi atau tauke 'lendir' China Doll. Pasti ada tuan-tuan besar yang berbini besar yang sanggup menaja. Di sinilah berlakunya pembajakaan.
Bagi kaum pemodal dan orang kaya-kaya, dana yang dihulurkan kepada orang politik ini adalah perlaburan masa depan mereka. Kaum pemodal, dalam sistem ekonomi kapitalis akan menaja sesiapa sahaja untuk memastikan lurah peniagaan mereka tidak dihalang.
Justeru dimanakah demokrasi yang cuba diperkenalkan oleh PKR? Pusing pusing sampai ke situ juga.
0 comments:
Post a Comment