Kenyataan rasis: MCA ikrar tidak berdemo

MCA tidak akan berdemonstrasi bagi membantah kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh pegawai kerajaan kerana ia telah bertindak sewajar dengan apa yang sepatutnya, kata presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Ada saluran demokrasi bagi meluahkan apa yang perlu dikatakan. Tidak perlu berdemonstrasi setiap hari. Apa lagi yang anda mahu kami lakukan? Hentam kepala kami di dinding dan baru anda akan percaya?” katanya pada wawancara dengan media tertentu hari ini.

Chua jelas kurang selesa apabila diasak mengenai kegagalan parti itu bagi menyakinkan kerajaan untuk bertindak terhadap dua pengetua yang dilapor menghamburkan kata-kata perkauman kepada pelajar bukan Melayu pada perhimpunan sekolah dan seorang pegawai kanan Biro Tata Negara yang didakwa melabelkan 'si sepet dan si kaki botol' ke atas masyarakat Cina dan India di negara ini.
Katanya, beliau telah berulang kali menjelaskan pendirian MCA bahawa mereka “menolak dan membidas sebarang bentuk kenyataan berbaur perkauman dan tidak dapat menerima perbuatan itu”.

"... kami mahu kerajaan bertindak pantas dan tegas. Saya telah berulang-kali memperkatakannya, malangnya, anda tidak membaca akhbar Cina dan berkata kami tidak membuat sebarang pendiriannya,” kata Chua.

Tambahnya, rakyat tidak harus memperbesar-besarkan isu berkenaan kerana tindak rasis itu hanya membabitkan segelintir orang daripada 1.2 juta kakitangan awam yang terdapat di negara ini.

"Saya telah katakan dengan jelas, jika ia datang daripada perdana menteri, maka ia adalah berlainan, namun ia bukan.

"Dalam negara pelbagi etnik, ada orang yang mahu menjadi wira dan ada juga orang yang tidak 'brerotak' - cara paling senang menjadi wira ialah menghamburkan kata-kata perkauman kerana mereka akan dianggap berani di kalangan sekelompok kecil bangsa mereka sendiri.

"Jadi, kita tidak sepatutnya terlalu mempedulikan mereka. Jika tidak, lebih ramai orang seumpama itu yang cuba menjadi wira dalam masa yang terpantas mungkin,” katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 6:39 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III