Rebut jawatan: Umno sudah habis ‘oksigen’

PAS berpandangan kekecewaan yang diluah oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dengan pergerakan Pemuda dan Puteri yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi menandakan parti itu sudah hampir kehabisan 'oksigen' dalam politik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, teguran Adnan yang mangatakan masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan itu mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Sebenarnya penyakit merebut benda ini bukan sahaja dialami oleh pemuda dan puteri, malahan boleh dikatakan sudah melanda kepada semua organ parti.“Mereka menyertai Umno bukan ikhlas, sebaliknya hanya untuk ‘E-Class’, yakni untuk kepentingan dunia dan isinya sahaja,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, perjuangan untuk menegakkan ideologi Umno dalam batang tubuh sudah terhakis, terutamanya generasi muda pada hari ini.

Baginya, mereka yang menyertai Umno bukan atas kefahaman sebaliknya kerana untuk mendapat projek dan menjadi jutawan ‘mi segera’ dengan menjadi ‘jutawan 10 persen’.

Justeru, ujarnya Tengku Adnan tidak boleh marah kepada anak buahnya, kerana bapa borek anak rintik.

“Bukankah bapa-bapa dalam Umno pun terlibat dalam rasuah politik ketika setiap kali pemilihan Umno yang sudah menjadi barah tahap empat?” soalnya.

Bahkan, katanya lagi mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir pernah menggelarkan Umno sudah busuk sampai ke usus.

Maka, ujarnya bukan suatu keganjilan anak-anak yang melihat gelagat bapa-bapa mereka untuk ditiru sama di peringkat pemuda dan puteri yang bertepatan pepatah mengatakan ‘kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari’.

Menurutnya, PAS berpandangan apabila Umno yang tidak mempunyai ideologi yang jelas, melainkan untuk kepentingan benda sahaja, maka itulah yang terjadi.

Tambahnya, jika jawatan dianggap untuk mengumpul kekayaan dan bukan lagi satu amanah, maka tunggulah saat kehancuran.

Manusia, ujarnya lagi tidak pernah puas dengan benda dan pangkat melainkan apabila tanah merah masuk ke dalam mulut barulah mereka puas sebagaimana Nabi s.a.w. mengingatkan: “sekiranya anak Adam diberikan dua telaga emas, maka mereka akan menuntut telaga yang ketiga, sehinggalah di dalam mulut mereka dipenuhi dengan tanah (yakni mati)”.

“Oleh itu, PAS sering mengingatkan kepada semua ahllinya, bahawa perjuangan ini ialah menuntut mardhatillah, bukan selainnya.

“Kalau ahli dan pemimpin PAS bersikap untuk benda dan dunia, kita adalah orang yang paling rugi, kerana habuan di dunia belum tentu kita perolehi dan habuan akhirat pasti akan lari,” ujarnya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:32 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III