Samy Vellu didesak Tun M atau contohi Keng Yaik

Semacam berpakat, dua pemimpin besar parti komponen Barisan Nasional (BN) memilih hari yang sama minggu lalu untuk mengumumkan pendirian menolak jawatan penasihat kepada parti yang pernah masing-masing terajui. Tanggal 4 Oktober 2010 akan dicatat sebagai salah satu tarikh penting dalam sejarah parti Gerakan apabila bekas presidennya, Tun Dr Lim Keng Yaik memaklumkan keputusannya melepaskan jawatan penasihat parti itu.  

Beliau yang menyerahkan kepemimpinan parti kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada April 2007, berkata tindakan itu ekoran kekecewaannya terhadap kegagalan penggantinya itu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan berbagai isu dalaman Gerakan.
“Apa guna beri nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar (nasihat),” media memetik katanya.

Sementara faktor pengunduran Keng Yaik agak jelas, apa yang mendorong Presiden MIC yang bakal berundur, Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil keputusan serupa pula masih menjadi tanda tanya. Pada tarikh sama, Samy Vellu memaklumkan menolak cadangan supaya beliau dilantik menjadi penasihat kepada parti selepas menyerahkan jawatan kepada Timbalannya, Datuk G. Palanivel, Januari depan.

Beliau sebaliknya meluahkan keyakinan beberapa pemimpin lebih muda MIC yang kini menyandang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri mampu membantu Presiden baru mengendalikan urusan parti itu.

 “Saya tidak akan memberi nasihat kepada mereka kerana semua mereka orang yang berpengalaman dan tahu apa yang mereka lakukan,” media cetak pada Selasa memetik kata Samy Vellu.

 Pada zahirnya, kenyataan itu kelihatan tulus. Namun, sejauh manakah ia tidak disirati perasaan kecewa dan unsur-unsur tekanan, sepertimana terzahir dalam kes dialami Keng Yaik itu?

 Beberapa hari sebelumnya bekas Menteri Kerja Raya itu mencuri tumpuan media apabila mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu dipangku Palanivel.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha memaksa beliau berundur. Lebih tidak diduga ialah apabila beliau akhirnya akur untuk berundur lebih awal dari apa yang diumumkannya sebelum ini.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu lapan atau sembilan bulan sebelum berakhir penggal perkhidmatannya pada Mei 2012.

Ertinya beliau sepatutnya menyerahkan jawatan sama ada pada Ogos atau September 2011. Justeru, apakah yang menyebabkan pelan peralihan kuasa MIC itu dipercepatkan tujuh atau lapan bulan lebih awal?

Samy Vellu melakar sejarah agak mengagumkan sepanjang terlibat dalam MIC. Beliau mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu yang berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya kekal dalam parti.

Namun penolakan rakyat, khususnya pengundi India, terhadap MIC pada pilihan raya umum lalu benar-benar mencalar kehebatan Samy Vellu. Parti diterajuinya kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain, termasuk MIC agar ikut berbuat serupa.

Salah seorang pemimpin ternama yang secara terbuka mengkritik Samy Vellu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi Mahathir, MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy Vellu memimpinnya.

Tidak semua pemimpin dan pendukung MIC dapat menerima kritikan terhadap presiden mereka. Lebih-lebih lagi kenyataan yang secara jelas memperlihatkan usaha campur tangan dalam urusan MIC.

Bagaimana pun, kritikan balas seorang pemimpin bahagian MIC terhadap Tun Mahathir di atas hasrat membela Samy Vellu nampaknya bertukar menjadi sokongan membawa rebah. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri itu, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kecaman keras pelbagai pihak.

MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.

Apakah episod itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada Samy Vellu? Adakah beliau redha dengan tindakan ke atas seorang anak buah yang membelanya itu, atau terpaksa akur kepada pandangan sebaliknya yang lebih menguasai partinya?

Saya kira episod itu sedikit sebanyak mendorong Samy Vellu akur kepada “desakan” Tun Mahathir. Lalu akhirnya beliau memilih untuk mengikuti jalan cerita yang pernah dialami Tun Abdullah. Pada asalnya Presiden Umno itu menyatakan hasrat berundur pada 2010, tetapi dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak keadaan agar tidak menunggu terlalu lama, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 12:58 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III