Selamatkan Melayu Islam

Melayu Islam perlu diselamat dan dibebaskan dari penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Umno-BN sememangnya mahukan Melayu Islam ‘bodoh’ dan mudah ‘diperbodohkan’ supaya senang dikontrol oleh parti tersebut.

Melayu Islam perlu sedar dan menyedarkan diri masing-masing jika mahukan perubahan. Perubahan tidak akan berlaku dalam negara ini jika Melayu Islam tidak berubah.


Sebab, orang Melayu masih lagi dominan yang memegang kuasa. Sekali pun Umno tidak lagi memerintah tetapi tetap ada penggantinya, iaitu PAS.

Dan jika Melayu Umno bimbang jika Umno kalah kuasa orang Melayu akan ‘hilang’ itu tidak betul pada teorinya. Sebab, Melayu PAS masih ada dan boleh menggantikan Melayu Umno yang telah lama memerintah dengan penuh kefasidan.

Sebab itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perubahan tidak boleh berlaku kerana 60 peratus pengundi di negara ini merupakan pengundi Melayu Islam.
Katanya, menjadi bertanggungjawab kepada PAS untuk membebaskan pemikiran Melayu Islam yang selama ini ‘dijajah’ oleh Umno.

“Kita (PAS) kena ingat 60 peratus pengundi Malaysia adalah Melayu Islam. Perubahan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak boleh membebaskan Melayu Islam daripada penjajahan pemikiran yang dibawa oleh Umno.

“Tanggungjawab kita (PAS) untuk membebaskan pemikiran mereka (Melayu Islam) sangat besar dan jentera penerangan PAS perlu menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Lajnah Penerangan & Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di sebuah hotel, dekat sini, baru-baru ini.

Namun begitu, katanya suatu perkembangan baru berlaku apabila PAS mula mendapat sokongan dari kalangan pengundi bukan Islam.
Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 telah berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan kepercayaan pengundi bukan Islam kepada PAS meningkat sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Pilihan raya (PRU ke-12) 2008, kita (PAS) melihat berlaku perubahan di kalangan pengundi-pengundi bukan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kepercayaan meningkat kepada PAS sehingga kita (PAS) menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kalangan orang bukan Islam. Ini satu perkembangan baru,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan bukan dengan bangsa sahaja.

Katanya, jika mahu ditegakkan dengan Melayu sahaja nescaya Melayu dan negara pun tidak selamat.

“Manusia mesti diselamatkan dengan Islam dan inlah yang hendak kita (PAS) perkenalkan dalam tanah air kita (Malaysia).

“Banyak orang bercakap tentang perpaduan Melayu dan menggunakan Islam untuk perpaduan Melayu.

“Jika hendak letakkan Islam di belakang, Islam secara sekular, Islam yang tidak berkuasa dan berdaulat, Islam yang tidak boleh menunjukkan adil kepada semua manusia. Melayu sahaja ditegakkan, melayu tidak selamat dan negara pun tidak selamat,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan bahawa tidak menjadi kesalahan menyayangi bangsa dan keluarga dalam Islam.
Menurutnya, kesalahan haram serta berdosa jika memutuskan hubungan silaturrahim dan pertalian keluarga.

Tetapi, katanya jika mempertahankan kaum dan keluarga yang ‘zalim’ merupakan suatu perkara yang sangat diharamkan.

“Tidak menjadi salah sayang kepada bangsa, tidak menjadi salah sayang kepada keluarga. Islam mewajibkan hubungan silaturrahim.

“Memutuskan silaturrahim, hubungan keluarga adalah haram dan dosa besar tetapi mempertahankan kaum dan keluarga yang zalim adalah suatu yang sangat diharamkan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Bendahari PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:33 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III