Dianggarkan 4,000 India tiada K/P

Anggaran 4,000 masyarakat India tempatan dikenal pasti tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya kurang pengetahuan serta beberapa masalah lain.

Sehubungan itu, katanya Kempen Mydaftar peringkat kebangsaan mulai 19 hingga 26 Februari ini mensasarkan untuk mendaftarkan sebanyak mungkin masyarakat India tempatan yang tidak mempunyai dokumen diri yang sewajarnya.



"Kempen ini merupakan platform untuk masyarakat yang mempunyai masalah tampil ke depan dan berusaha menyelesaikan masalah itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan Kempen Mydaftar peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Kempen selama lapan hari itu membabitkan proses mendokumentasikan masyarakat India tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sewajarnya seperti sijil kelahiran, kad pengenalan serta masih memiliki kad pengenalan merah dan belum memohon status warganegara.

Ia dianjurkan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri dan disokong oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta turut dibantu NGO, MIC, agensi kerajaan, guru, serta pertubuhan politik dan sukarelawan.

Subramaniam yang juga pengerusi pasukan petugas khas pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan Timbalan Presiden MIC turut mempelawa masyarakat kaum lain yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri untuk
mendaftar pada kempen itu.

Sepanjang kempen itu sebanyak 85 kaunter khas JPN akan dibuka pada waktu pejabat termasuk Sabtu dan Ahad, katanya.

Katanya setiap negeri yang terlibat dalam kempen itu iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor akan mempunyai penyelaras utama dengan dibantu sukaralewan dari MIC dan NGO.

"Kita juga akan beri tumpuan kepada beberapa tempat antaranya sekolah-sekolah Tamil untuk memastikan semua murid yang tiada sijil kelahiran akan diselesaikan serta di rumah-rumah kebajikan kerajaan dan swasta yang ada di antaranya (penghuni) tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap," katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:22 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III