Ops Lalang: Kit Siang terus cabar Mahathir kemuka bukti


KUALA LUMPUR, 15 Feb — Sambil mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk menjadi “mangsa amnesia” tiga tahun lalu, Lim Kit Siang menasihatkan bekas perdana menteri agar “berusaha keras” untuk mengingati kembali dakwaan bahawa pernah ada pertemuan “mengejutkan” dengan pembangkang sebelum Operasi Lalang 1987.
Dalam kenyataan ketiganya berhubung pandangan Dr Mahathir menyentuh operasi itu yang membawa kepada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berkata, bekas presiden Umno dan bekas menteri dalam negeri itu memang terkenal dengan sikapnya memilih untuk menjadi “mangsa amnesia kerana sebab-sebab politik” ketika sesi inkuiri suruhanjaya diraja berhubung isu klip video Datuk V.K. Lingam pada Januari 2008 apabila mengatakan “saya tidak boleh ingat”.

Dr Mahathir memilih untuk berkata “saya tidak boleh ingat” bagi soalan-soalan penting yang dikemukakan oleh suruhanjaya.
“Adakah mungkin beliau ada menemui anggota pembangkang dan memberi jaminan tidak akan ditahan, tetapi beliau tidak ingat wajah-wajah mereka kecuali saya atau di bila, di mana atau siapa lagi di pihak dia yang hadir atau pihak kepada pertemuan itu?” kata beliau.
“(Oleh itu), Mahathir harus tampil dengan saksi-saksi pertemuan,” kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Lim juga menambah tiada sebab bagi pemimpin pembangkang harus menyembunyikan kebenaran mengenai pertemuan itu dan jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan sekiranya benar ia berlaku.
Ahli Parlimen veteran ini berkata, beliau pernah mendedahkan bahawa selepas dibebaskan dari Kamunting pada Mei 1989 memang ada bertanya pada Dr Mahathir mengapa Datuk Seri Najib Razak ketika itu ketua Pemuda Umno tidak ditahan.
“Soalan pertama yang sudah pasti saya kemukakan kepada Mahathir ketika menemui beliau ketika itu ialah mengapa memungkiri kata-katanya jika benar Mahathir ada memberikan kata-kata sedemikian pada pertemuan yang didakwa diadakan sebelum Operasi Lalang dijalankan,” katanya lagi.
Lim berkata perkembangan ini dengan sendirinya sesuatu yang menarik untuk dilihat mengapa Dr Mahathir berusaha menulis balik sejarah sendiri mengenai Operasi Lalang.
Dalam kenyataan terbaru semalam, Dr Mahathir terus bertegas pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum operasi itu dilaksanakan.
“Ia berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya benar-benar ingat perjumpaan dengan mereka, saya tidak ingat wajah-wajah mereka. Saya pasti Karpal (Singh) bukan salah seorang daripadanya dan saya rasa (Lim) Kit Siang salah seorang daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan menyahut cabaran oleh Karpal, Pengerusi DAP, untuk menamakan anggota pembangkang yang menemuinya sebelum Ops Lalang dilaksanakan.
Dr Mahathir berkata sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui yang mereka menemuinya sebelum operasi.
Katanya pemimpin-pemimpin pembangkang merayu kepadanya bagi mengelak penahanan mereka di bawah ISA pada 1987, dan itu adalah sebabnya mengapa beliau menemui mereka supaya mereka tidak ditahan.
Dr Mahathir berkata: “Ia memalukan buat saya, selepas beri jaminan yang mereka tidak akan ditahan, mereka ditahan polis, dan sudah tentu saya terpaksa menandatangani perintah tahanan.”
Sebelum ini, Lim telah mencabar Dr Mahathir mendedahkan nama pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau bertemu dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan di bawah Operasi Lalang 1987.
Dr Mahathir mengatakan perkara itu dalam buku terbaru “Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad” tulisan Tom Plate.
Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.
Dalam Operasi Lalang ini, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.
Selain Lim, turut ditahankan ialah Chandra Muzaffar, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.
Dr Mahathir mempertahankan beliau memang ada bertemu dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim bersama “kumpulannya.”

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:04 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III