Peguam Anwar: Tiada kesan air mani, tiada ujian

Peguam pasukan pembela kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada bukti air mani dikesan pada Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana tiada ujian yang sewajarnya dijalankan untuk memastikan perkara tersebut.
Sankara Nair, salah seorang peguam Anwar berkata, meskipun keputusan makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan adanya kesan air mani, tetapi tiada ujian-ujian yang standard dijalankan untuk mengesahkan perkara itu.


Menurut peguam itu, laporan kimia juga tidak mengambil kira ujian-ujian standard yang harus dijalankan untuk menentukan sebarang kehadiran air mani.
“Ada ujian-ujian yang standard, diamalkan di peringkat antarabangsa seperti PSA ‘antigen’ dan RSID yang akan memberi gambaran tepat mengenai air mani,” kata beliau dalam soalan kepada pakar patologi forensik HKL Dr Siew Sheue Feng hari ini.
Perbicaraan kes liwat Anwar disambung di Mahkamah Tinggi hari ini.
Dengan merujuk kepada laporan kimia, Sankara berkata laporan kimia juga menunjukkan bahawa kesan air mani sendiri ada ditemui pada seluar dalam dan seluarnya.
“Bagaimanapun perkara ini tidak dicatatkan oleh anda?” soal Sankara yang mana Dr Siew mengakui bahawa beliau memang tidak mengambil catatan.
“Air mani tidak disahkan kerana tiada ujian-ujian dijalankan untuk membuktikan sama ada wujud sama sekali air mani.
“Keseluruhan laporan kimia, jika ia mengatakan kesan air mani wujud pada Saiful, mesti menunjukkan ujian-ujian mengenainya,” kata Sankara kepada pemberita kemudian.
Sankara mendakwa ada kemungkinan bukti telah diusik memandangkan tidak dapat dinyatakan sama ada bekas yang mengandungi sampel yang diambil daripada Saiful telah dibuka.
Dr Siew sebaliknya menegaskan, beliau dan hospitalnya telah bertindak “secara adil dan tanpa bias.”
Pakar forensik itu tidak bersetuju dengan syor Sankara dalam kebanyakan waktu keterangan dan mempertahankan bahawa tidak mungkin bekas-bekas yang mengandungi sampel Saiful diusuik.
“Pada peringkat ini, kami hanya menimbulkan keraguan kredibiliti saksi dan bukti,” kata Sankara kepada pemberita.
Perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi disambung semula bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 25 Mac ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu bulan lalu.
Sehingga kini empat saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan.
Mereka ialah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari HKL.
Pada 14 Januari, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu dan memutuskan bahawa Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi memandangkan keputusan dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung.
Anwar dituduh meliwat Saiful, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:19 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III