Isu Tabung Budi: Syabas saman MB Selangor, Tony Pua


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) cuba mengelirukan rakyat dengan mengemukakan saman terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) termasuk beliau sendiri.
Khalid dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua telah menerima notis saman Syabas berhubung isu Tabung Budi.
“Kami telah menerima dokumen saman daripada Syabas berkenaan kenyataan yang dibuat mengenai Tabung Budi serta kenyataan yang meminta Syabas memulangkan hak pembekalan air kepada kerajaan negeri menerusi kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat,” kata Khalid dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khalid berkata peguam-peguamnya telah diberi arahan untuk menyediakan pembelaan di mana beliau akan diwakili oleh Edmund Bon manakala Pua, yang juga setiausaha publisiti DAP kebangsaan, telah melantik Gobind Singh Deo.
Bagaimanapun Khalid menegaskan, tindakan perundangan itu tidak mengubah pendirian kerajaan negeri Selangor terhadap isu Tabung Budi.
“Syabas tidak mempunyai hak untuk meminta pengguna-pengguna menyerah dana kepada Syabas kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian 20 meter padu air percuma.
Kerajaan negeri juga masih berpendapat penjanjian konsesi kepada empat syarikat konsesi termasuk Syabas perlu ditamatkan agar industri air negeri boleh diambil alih kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air yang lebih efektif dengan harga yang berpatutan,” kata Khalid dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Khalid juga menambah, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pegawal Selia Air agar menulis surat kepada Syabas untuk memastikan bahawa segala biayaan guaman dalam saman ini dibayar oleh pengarah-pengarah dan individu yang terlibat Syabas  sendiri dan bukan oleh Syabas sendiri kerana syarikat tidak perlu dibelenggu oleh bayaran guaman untuk kes yang jelas tidak ada kena-mengena dengan fungsinya sebagai pembekal air bersih kepada rakyat Selangor.
Malah kata beliau, tindakan Syabas menyaman ketika proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi-konsesi air yang belum selesai menimbulkan beberapa persoalan berkenaan niatnya.
“Semua wakil kerajaan Pakatan Rakyat Selangor siap sedia untuk terus berusaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,” katanya lagi.
Pada akhir November lalu, kerajaan Selangor berkata akan meminta kerajaan pusat menarik balik lesen konsesi yang diberikan kepada Syabas jika syarikat itu didapati mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan Selangor kepada rakyatnya menerusi Tabung Budi.
Khalid berkata Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung yang dilancarkan syarikat itu.
Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.
Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.
Khalid berkata Syabas bukanlah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal kebajikan rakyat.
“Tujuan Syabas bukanlah untuk jaga kebajikan. Adalah sesuatu yang ‘hypocrisy’ untuk katakan dia (Syabas) sekarang bertaubat menolong rakyat . . . itu bukan tujuannya. Saya akan mengutus surat kepada Syabas sama ada perkara ini melanggar tatacara perjanjian yang kerajaan negeri buat bersama Syabas pada 2004,” katanya ketika itu.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:07 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III