Galas: Dewan Himpunan Penyokong PAS tawar calon

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bersedia menggalas tanggungjawab jika parti itu mahu meletakkan calon berbangsa Cina bagi bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, jika itu yang telah diputuskan pucuk pimpinan parti itu.

Ketua dewan itu Hu Pang Chaw berkata pihaknya tidak ada masalah untuk meletakkan calonnya pada pilihan raya itu memandangkan mereka mempunyai calon yang sesuai dengan kedudukan pengundi di kawasan itu.

“Kami tidak meminta pucuk pimpinan PAS memilih wakil kami sebagai calon, tetapi kami bersedia untuk calonkan wakil kami dalam pilihan raya kecil itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu tidak menghadapi masalah dalam pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Menteri Besar Kelantan itu, dalam kenyataannya hari ini menyatakan ini ditambah pula apabila PAS sudah mempunyai sayap baru daripada kalangan masyarakat Cina, iaitu DHPP yang boleh menangani masalah itu jika diperlukan.

Menurut Hu, dalam politik semua perkara tidak mustahil boleh berlaku  terutama apabila seorang ahlinya yang juga pengundi Cina di Gua Musang pernah membantu Adun PAS DUN Galas yang meninggal dunia, Chek Hashim Sulaima, ketika menerima rawatan di China beberapa bulan lepas.

Tambahan pula, katanya, individu terbabit juga mempunyai kenalan dan pengaruh yang tidak kurang kuatnya di kalangan pengundi bukan Melayu di kawasan berkenaan.

Kerusi DUN Galas itu kosong berikutan kematian Chek Hashim Sulaima, 46, di Hospital Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur berikutan penyakit barah usus dua hari lepas.

Bagaimanapun, sebagai sayap keempat PAS selepas Dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat, DHPP menerima apa saja keputusan pucuk pimpinan membuat pilihan terbaik dalam pemilihan calon pada pilihan raya kecil itu.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 5:28 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III