Lagu tema Upin Ipin bawa pesan persahabatan

Padi, sebuah kumpulan muzik sedang meningkat di Indonesia melancarkan album single, semalam dengan lagu berjudul "Sahabat Selamanya" untuk lagu tema siri kartun Malaysia "Upin Ipin", yang membawa pesan persabahatan Malaysia-Indonesia.

Penghormatan yang diberikan oleh produser kartun Upin Ipin itu kepada kumpulan muzik itu, sekaligus menjadi daya usaha diplomasi budaya dua negara bersahabat, di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Indonesia sejak pertengahan Ogos lalu.

Walaupun penerbitan album single ini pada awalnya bukan bertujuan mengurangkan ketegangan suasana, namun kehadirannya diharap dapat menyejukkan hati masyarakat kedua-dua negara.
Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Radzi, produser siri kartun itu berkata penerbitan Upin Ipin bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi juga berperanan menjaga hubungan kedua-dua negara.

“Pemilihan Padi adalah untuk memberi penghormatan kepada para peminat di Indonesia, yang selama ini telah menyokong Upin Ipin,” katanya.

Burhanuddin berkata ramainya peminat kartun itu di Indonesia dapat dilihat dari facebook watak dua adik beradik itu di mana peminat Indonesia mencapai 80 peratus dari sekitar tiga juta peminatnya.

Lagu "Sahabat Selamanya” menggambarkan persahabatan antara Upin Ipin dan kawan-kawannya, termasuk seorang budak perempuan bernama Susanti yang berasal
dari Indonesia.

“Dalam pertengkaran tidak ada yang untung, oleh itu jadilah sahabat selamanya saja,” katanya.

Para anggota kumpulan Padi juga amat teruja dengan projek lagu tema itu tanpa rasa khuatir kehilangan populariti dan penggemar, di tengah-tengah sentimen anti Malaysia di Indonesia pada masa ini.

“Dalam dunia anak-anak, mereka tidak mengenal masalah politik. Ruang imaginasi dan ruang permainan mereka tidak ada batasan. Kita cuba memasuki dunia anak-anak dan semoga ia dapat menjadi jambatan ke arah sana,” kata Piyu, gitaris Padi.

Para anggota Padi yang telah berkeluarga mempunyai rasa ghairah tersendiri untuk membuat lagu ini kerana mereka dan anak-anak masing-masing juga merupakan peminat setia siri kartun itu, yang ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di Indonesia.

Sementara itu, jurucakap Eminent Person Group Indonesia-Malaysia, Musni Umar yang turut hadir dalam acara pelancaran single itu yakin tayangan siri Upin Ipin dapat meredakan perasaan salah faham antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

“Upin Ipin begitu besar pengaruhnya dalam masyarakat Indonesia. Saya berharap ia dapat mengubah persepsi negatif masyarakat di kedua-dua negara,” katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak program positif seperti konsert muzik bersama, pertemuan belia-belia serta antara petugas media dapat dijalankan dalam usaha membantu mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam semua bidang lain.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:32 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III