Kes liwat: Kerajaan Malaysia tidak tentang Anwar tapi stafnya, kata Najib

Najib berkata kes liwat Anwar adalah hanya antara dia dan penuduhnya, Saiful.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan Malaysia pimpinan beliau tidak menentang Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan dengan kes liwat buat kali kedua dalam satu dekad lalu.

Dipetik Bernama, Najib menjelaskan, kes itu muncul selepas salah seorang kakitangannya sendiri yang telah memfailkan satu laporan polis terhadap beliau.

Anwar dan penyokongnya mendakwa beliau diperangkap dan kes terbaru ini didalangi oleh kepimpinan Najib dan Umno.
Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis Jun 2008 mendakwa dia telah diliwat oleh oleh bekas majikannya itu.

Perbicaraan kes itu sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan diteruskan pada 14 dan 15 Oktober ini dengan menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas seorang doktor Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu, Anwar juga ada memfailkan saman terhadap Saiful pada 30 Jun 2008 mendakwa bekas pembantunya itu membuat laporan polis kerana mempunyai niat tersembunyi dan juga untuk mencemarkan peribadinya sebagai ahli politik.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat dibicarakan atas tuduhan meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit

Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Najib mengambil peluang untuk mempromosikan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan peluang yang diberikan pada Majlis Hubungan Luar (CFR), sebuah kumpulan pemikir hal ehwal luar terkemuka di New York.

Ucapan Najib yang bertajuk “Program Transformasi Ekonomi di Malaysia”, merungkai perubahan dalam negara yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran global untuk bersaing dengan China, India dan terkini Vietnam.

Beliau bercakap mengenai pengwujudan satu paradigma baru untuk Malaysia dengan mencuba mencapai sebuah negara yang dibina dalam bentuk konsep 1Malaysia, yang bertujuan membawa semua rakyat Malaysia bersama tanpa mengira latar belakang etnik dan agama, agar mereka boleh bergerak seiring.

Sehubungan itu beliau menggesa rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat bersama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.

Malaysia katanya, yang mempunyai penduduk pelbagai etnik dan bangsa khasnya Cina dan India boleh menjadi penghubung kepada China, India, Timur Tengah dan tempat lain.

“Kita boleh dihubungkan kepada dunia,” tegasnya.

“Dasar baru itu akan membantu Bumiputera yang layak dibantu bukan kerana jaringan mereka tetapi merit mereka.

“Ini akan juga menggalakkan pelabur asing datang ke Malaysia. Pemikiran (lama) kita hendaklah berubah, jika kita mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Kita telah melancarkan Model Baru Ekonomi untuk meningkatkan per kapita rakyat Malaysia daripada kini AS$7,000 (RM22,000) kepada AS$15,000, dengan mewujudkan kira-kira 3.3 juta pekerjaan, dan kita telah mengenal pasti 135 projek utama di negara,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata sektor swasta akan dirancakkan yang akan menyediakan 92 peratus pelaburan dan fungsi sebagai sebuah enjin pertumbuhan sebagai merujuk kepada projek infrastruktur besar dengan membina sistem MRT untuk Kuala Lumpur dengan pelaburan AS$12.5 bilion bertujuan meningkatkan ekonomi.

Projek seperti itu akan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan dan memudahkan peralihan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

Najib berkata, Malaysia berminat dalam perjanjian Kawasan Bebas Perdagangan (FTA) dengan Amerika Syarikat — rundingan telah dihentikan semasa pentadbiran George Bush setelah kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang kemajuan.

Bagaimanapun beliau berkata terdapat rangka kerja multilateral untuk rundingan antara Amerika Syarikat dan Asean.

Perdana Menteri juga menjelaskan pentingnya Amerika Syarikat bukan hanya kerana ia merupakan pasaran ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura, tetapi juga kerana “kita berkongsi nilai-nilai dan kebebasan yang sama.”

Beliau juga menjelaskan kini terdapat 600 syarikat Amerika Syarikat di Malaysia.

Selain isu ekonomi dan perniagaan yang menjadi elemen utama dalam ucapannya, Najib kemudian menjawab beberapa isu dalam sesi soal jawab yang diketuai oleh pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) CV Starr dan Co Inc Maurice R. Greenberg.

Dalam sesi itu Perdana Menteri berkata Malaysia berhasrat menjadi rakan strategik Amerika Syarikat. “Kita sepatutnya berhubung semula dengan Amerika Syarikat kerana kekuatan yang menyambungkan kita adalah besar daripada yang memisahkan kita.

Amerika Syarikat dan Malaysia kekal sebagai rakan baik kerana nilai-nilai bersama yang mengikat kita,” tegas Najib.

Beliau menyeru untuk kesederhaan bagi Amerika Syarikat dan Malaysia untuk bekerjasama memberhentikan ekstremisme dan keganasan.

Perdana Menteri mengiktiraf peranan ketua-ketua gereja yang mampu memberhentikan ugutan paderi Amerika Syarikat yang mahu membakar al-Quran baru-baru ini.

Najib berkata Islam adalah agama yang aman dan bertoleransi yang mengamalkan keadilan untuk semua — Muslim dan bukan Muslim.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan menghantar satu pasukan doktor wanita Muslim ke Afghanistan yang menghadapi kekurangan pakar perubatan wanita untuk merawat penduduk wanita di negara itu.

Mengenai kebimbangan di kalangan pemikir strategik rakyat Amerika mengenai kekuatan China di Asia Tenggara, Najib berkata Malaysia mestilah menerima kenyataan kekuatan negara China yang baru.

“Bagaimanapun, kita percaya China tidak dapat mengancam kestabilan rantau ini.

“Kita ada mekanisme dalam Asean untuk menyelesaikan sebarang perbezaan. Rakyat China adalah pragmatik. Tetapi China sudah pasti mempunyai pengaruh ekonomi yang kuat,” kata Najib.

Bagaimanapun, Malaysia juga percaya bahawa rantau ini janganlah untuk didominasi oleh satu kuasa sahaja.

Mengenai lawatan Perdana Menteri India Manmohan Singh ke Malaysia bulan depan, Najib berkata lawatan itu sangat penting bagi Malaysia untuk mengadakan kerjasama dalam banyak bidang.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:00 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III