Antara RM 111 juta Permata dan RM 200 juta Subsidi Air Selangor ???

Mentaliti primitif dan bersifat hasad dengki mungkin frasa yang tepat bagi menggambarkan sikap Pakatan Rakyat yang sibuk memburukkan Datin Seri Rosmah Mansor dan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (PERMATA). Permata ditubuhkan dengan niat yang murni untuk membantu memberi satu model pendidikan awal kanak-kanak yang lebih sofistikated, teruji dan mampu mengembangkan minda anak-anak Malaysia terutama yang datang dari keluarga orang miskin.

Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan modul pembelajaran dan teknik pengajaran serta kursus penjagaan kanak-kanak kepada pendidik-pendidik di Pusat Anak PERMATA Negara.
Memang benar Permata adalah ilham dan usaha Datin Seri Rosmah Mansor namun ia telah dijadikan projek Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertujuan membantu anak-anak yang datang dari keluarga berpendapatan rendah. Sejak bila membantu rakyat menjadi salah dan songsang?  
Permata mensasarkan anak-anak di bawah 5 tahun yang datang dari keluarga berpendapatan RM 1500 ke bawah tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Tujuannya ialah untuk memberi pendidikan peringkat tadika yang dianggap setanding dengan tadika-tadika yang mengenakan bayaran antara RM 300 – 400 sebulan. Apakah niat, tujuan dan pelaksanaan Permata ini salah dan buruk?
Permata memberi pendidikan dan penjagaan percuma kepada anak-anak di luar bandar dan mereka yang berpendapatan kecil di dalam bandar. Apakah ia salah dan buruk sehingga dijadikan isu politik kerana kerajaan memperuntukkan RM 111 juta dalam Bajet 2011 baru-baru ini?
Peruntukan itu meliputi projek pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap. Apakah ini tidak bermakna dan bernilai kepada para pemimpin Pas yang kononnya pejuang Islam? Bayangkan berapa banyak anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin dapat menikmati pendidikan yang lebih berkualiti ini.
Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.
Sebahagian besar peruntukan ini akan digunakan bagi membina Pusat Asuhan Permata ini di kawasan luar bandar.
Jangan kerana program Permata ini dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor maka ia mahu dijadikan modal politik yang penuh maki hamun dan cercaan. Pakatan selalu memperkatakan soal budaya politik baru. Malangnya, mereka sendiri membawa budaya politik primitif dengan menyerang kerja-kerja kebajikan isteri Perdana Menteri. Yang bertanding, yang menjalankan dasar dan yang dilantik menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, mengapa isteri beliau dijadikan sasaran.
Jika Datin Seri Rosmah melakukan sesuatu yang memburukkan nama negara atau sibuk membahagikan projek kerajaan maka wajarlah Pakatan mengutuk beliau. Malangnya, beliau ke sana ke sini membuat amal kebajikan dan mencari jalan membantu kerajaan mengatasi isu-isu sosial dan pendidikan di kalangan rakyat. Apakah ini satu dosa?
Sikap beberapa pemimpin Pas yang menggelarkan peruntukan kepada Permata sebagai Bajet Rosmah sekadar menunjukkan parti Islam ini sudah jauh sesat dan songsang akibat hawa nafsu kuasa politik. DAP sedang bertepuk tangan kerana mereka sedar PERMATA lebih menguntungkan orang Melayu berbanding Cina kerana Melayu yang ramai berpendapatan bawah RM 1500 dan tinggal di luar bandar.
Jika ada kaum Cina dan India pun mereka bukan penyokong DAP kerana kebanyakan penyokong DAP terdiri daripada golongan profesional dan yang mempunyai kewangan yang kukuh. Mereka ini tidak akan peduli dengan anak-anak orang miskin. Kita lihat mereka hanya bercakap masalah-masalah demokrasi, kebebasan media, kebebasan bercakap, kebebasan menipu dan memanipulasi.
Sikap penyokong Pakatan ini tidak menghairankan kerana sungguhpun mereka hidup senang, mampu mencuci kereta di luar  dengan kos sekitar RM 30 seminggu, tapi turut memgambil subsidi kerajaan Selangor berjumlah RM 11 setiap bulan dan menyebabkan subsidi air kerajaan negeri Selangor berjumlah RM 200 juta setahun. Kita lihat penyokong DAP di Subang Jaya yang semuanya  tinggal di rumah teres dan banglo tetap mengambil subsidi air bernilai RM 11 setiap bulan. Tidak pula ada pemimpin Pakatan mengatakan ia pembaziran dan ketidak adilan.
Antara RM 111 juta untuk pendidikan anak-anak dari keluarga kurang mampu dengan RM 200 juta untuk subsidi air kepada penyokong DAP yang kaya raya, siapa sebenarnya yang tidak bertanggungjawab?
Rakyat Selangor yang miskin dan tidak berkemampuan dan tinggal di flat-flat tidak layak mendapat subsidi air kerajaan negeri Selangor atas alasan meter pukal. Namun wakil-wakil rakyat DAP, PAS dan PKR yang tingggal di rumah banglo semuanya kebas RM 11 subsidi air Selangor.
Inilah perangai pemimpin Pas yang sedang berkempen Di Galas sekarang ini. Mereka mencerca isteri Perdana Menteri yang mahu membantu anak-anak rakyat berpendapatan rendah mendapat pendidikan awal yang baik dan berkualiti. Namun mereka mendiamkan diri sama sekali melihat duit rakyat selangor dibazirkan untuk memberi subsidi air kepada penyokong mereka hidup senang di Selangor.
Mungkin Pas perlu bermuhasabah diri dan bermunanjat kepada Allah mencari jalan pulang ke arah perjuangan lurus untuk agama, bangsa dan negara.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:46 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III