Dalam situasi terkini, malah lebih tepat lagi dalam sistem pemilihan pemimpin seperti yang diamalkan oleh negara ini, kita sebenarnya tidak ada banyak pilihan, terutama pada pilihanraya umum. Pun begitu, dari peringkat bawahan atau cawangan, kita selaku pemberi amanah sudah mampu memerhatikan dan mencermati pemimpin-pemimpin yang berkelayakan untuk dinaikkan, bukan kerana wang ringgit atau sedapnya suara ketika bertazkirah, sebaliknya kerana kemampuan pemimpin tersebut dalam menanggung beban amanah di bahunya.
Perhatikan bagaimana para pemimpin PAS menggelecek minda umat Islam yang kurang berpengetahuan tentang fiqh siyasah bagi menunjukki orang yang boleh dinaikkan sebagai pemimpin. Ajaran mereka ialah, orang yang paling fasih lidahnya berbicara tentang agama, boleh menjadi imam, boleh membaca doa, boleh hafal dan membaca surah panjang, boleh menjadi tempat rujukan hukum-hakam, boleh itu dan boleh ini, itulah yang boleh dinaikkan sebagai pemimpin. Kata mereka lagi, hanya dengan faqih agama sahaja, mereka dapat menjadi pemimpin yang baik.
Walhal Allah Taala sendiri tidak menetapkan bahawa golongan mutakallimun wajib menjadi pemimpin, sebaliknya mereka menjadi sempadan dan sendalan kepada golongan umara’. Atau lebih tepat lagi, golongan yang lebih selesa dengan gelaran ‘ulama’ itu, berfungsi sebagai penasihat umara’ bukannya sebagai umara’ sepertimana fahaman yang dipegang oleh sebahagian ahli PAS yang jahil dan beku otaknya.
Artikel yang lepas memperkatakan tentang melantik pemimpin yang layak dan sesuai (asylah). Manakala sambungan kali ini memperkatakan tentang memilih pemimpin yang terbaik sekaligus merupakan perkara kedua di dalam persoalan Walayat.
Untuk mencari seorang pemimpin yang benar-benar mampu menanggung beban walayat bukanlah sesuatu yang mudah. Maka dalam kes sebegini, akar umbi perlulah mendapatkan pemimpin yang dirasakan terbaik di kalangan mereka. Kalau tidak ada yang terbaik, mana-mana yang lebih baik, diangkat untuk dijadikan pilihan dalam setiap penugasan jawatan (manshah) dan ia perlu dilakukan dengan pemilihan yang sangat ketat (ba’da al-ijtihad at-tam). Maka selepas itulah baru berlaku proses pemilihan (akh-dzuha) dalam memberikan tugas walayat kepada yang memenuhi kriteria (bihaqqiha).
Dengan itu, maka akar umbi telah melaksanakan dan menepati amanah sekaligus telah menunaikan kewajipannya mengikut bidang dan peranannya. Maka tidaklah diragukan lagi bahawa, mengikut tingkat pemilihan tersebut, menjadikan mereka sebagai antara para imam yang adil di sisi Allah sekalipun mungkin terdapat beberapa hal yang disifatkan sebagai kekurangan dan sukar untuk menghilangkannya.
Firman Allah Taala dalam Surah At-Taghabun ayat 16 yang bermaksud:
Bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kemampuan kamu!
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 pula bermaksud:
Allah tidak akan membebankan jiwa (diri manusia) kecuali sesuai dengan kemampuannya.
Sesiapa sahaja yang melaksanakan kewajipan dengan segala daya upayanya, orang tersebut telah mendapat petunjuk.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Apabila aku perintahkan kepadamu tentang suatu urusan, maka laksanakanlah semampumu!” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimana, jikalau seseorang itu tidak lagi memiliki daya kemampuan, tidak berhak akan tugas tersebut atau tidak mempunyai sifat amanah (khiyanah), maka dia perlu dihukum. Dengan demikian, seseorang yang memiliki kuasa memilih agar tahu sesiapa yang lebih layak (asylah) dalam menyerahkan tugas (fi kulli manshab) kerana walayat itu mempunyai dua perkara utama iaitu kelayakan (quwwah) dan amanat.
Kelayakan bagi kekuasaan atau quwwah bergantung kepada kes-kes yang sesuai (bi hasbiha). Kelayakan dalam kepimpinan perang adalah keberanian, kebijaksanaan mengatur strategi dan taktik perang, teliti dalam melakukan siasatan dan pengintipan.
Manakala kekuatan dalam pemerintahan dan menjatuhkan hukum terhadap sesama manusia pula adalah dengan memiliki ilmu tentang keadilan menurut panduan al Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan kemampuan menerapkan hukum kepada masyarakat.
Sifat amanat, mempunyai kaitan rapat dengan sifat takut (khauf) kepada Allah Taala, tidak menjual-belikan ayat-ayat-Nya dengan harga yang murah atau sekadar untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa, dan tidak memiliki perasaan takut sesama manusia. Ketiga-tiga ciri (khishal) inilah yang dijadikan Allah Taala sebagai asas dalam setiap pemerintahan seperti mana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:
Oleh kerana itu, janganlah engkau takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada-Ku, dan janganlah engkau menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak berhukum kepada apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir.
Realiti menunjukkan orang yang memiliki sifat-sifat kelayakan(quwwah) dan amanah sangat sukar dicari. Oleh kerana itu, pemilihan mahupun pengangkatan pemimpin untuk menduduki suatu jawatan (walayat) hendaklah dilakukan berdasarkan kepada asylah (seseorang yang lebih layak) bergantung kepada keperluan jawatannya.
Dengan kata lain, seandainya terdapat dua orang calon dengan karakter yang berbeza, iaitu seorang dilihat lebih menonjol dari segi kekuatannya, manakala yang seorang lagi dari segi amanahnya, maka keutamaan ditentukan kepada keperluan dan kapasiti calon yang terpilih bagi jawatan (walayat) tersebut dan mempertimbangkan buruk baiknya dalam pemilihan – mana yang lebih mendatangkan manfaat atau lebih ringan dari segi kemudaratannya.
Ini sebenarnya keadaan atau realiti yang berlaku di Malaysia. Bagaimanapun, perkara ini tidak pernah diterangkan oleh para pemimpin PAS yang konon-kononnya sangat pakar dalam bab-bab sahsiah dan siyasah. Dengan kata lain, mereka menyembunyikan sebahagian yang tidak menguntungkan tetapi lebih kuat menekankan perkara-perkara yang menguntungkan.
Imam Ahmad rahimahullah apabila ditanya tentang dua figur panglima perang yang mana salah seorang daripadanya gemar melakukan dosa tetapi berfizikal gagah, manakala yang seorang lagi seorang yang warak dan soleh tetapi berfizikal lemah.
“Perihal panglima yang bertubuh kuat tetapi gemar melakukan dosa, maka kekuatannya itu akan (menguntungkan) kaum Muslimin sedangkan kegemarannya untuk melakukan dosa, hanyalah tertonggok pada dirinya sendiri. Sementara panglima yang soleh tetapi bertubuh lemah, maka kesolehannya itu hanya untuk dirinya, sedangkan kelemahannya akan tertompok pada kaum Muslimin. Oleh kerana itu, urusan peperangan hendaklah diserahkan kepada panglima yang kuat meskipun dia gemar kepada dosa.”
Pendapat Imam Ahmad rahimahullah itu sepadan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan memperkuatkan kedudukan agama ini (Islam) dengan orang yang suka melakukan dosa (fajir).” (Hadis riwayat Bukhari)
Atas alasan inilah Rasulullah s.a.w mengangkat Syaidina Khalid bin Al-Walid sebagai panglima perang semenjak Syaidina Khalid r.a menyatakan keislamannya. Bahkan di dalam Musnad, Imam Ahmad rahimahullah meriwayatkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Khalid adalah pedang yang dihunuskan Allah kepada kaum musyrikin.”
Khalid r.a dalam kehidupan sehariannya kadang-kadang melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak disukai oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w menengadah tangan seraya berdoa, “Ya Allah, aku berlepas kepada-Mu daripada apa yang diperbuat oleh Khalid.”
Ianya berlaku apabila Khalid r.a diutuskan oleh Rasulullah s.a.w kepada suku Judzaimah. Tindakan Khalid r.a agak keterlaluan apabila dia melakukan pembunuhan dan mengambil harta kekayaan kaum tersebut dengan cara syubhat. Tindakan Khalid r.a itu bertentangan dengan perintah Rasulullah s.a.w, bahkan Khalid r.a juga telah diperingatkan oleh para Sahabat r.a agar tidak melakukan perbuatan tersebut.
Akibatnya Rasulullah s.a.w perlu membayar denda (diyat) di atas pembunuhan yang dilakukan oleh Khalid r.a dan memberikan jaminan untuk mengembalikan harta mereka. Pun begitu, Rasulullah s.a.w tetap melantik Khalid r.a sebagai panglima perang. Sebabnya, untuk maslahat ini, Syaidina Khalid al-Walid r.a lebih layak berbanding orang lain.
Begitu juga dengan Abu Dzar r.a yang dianggap lebih soleh dalam hal amanah dan kejujurannya berbanding Khalid al-Walid r.a. Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w sendiri bersabda kepada Abu Dzar r.a yang bermaksud:
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya aku melihat dirimu itu lemah dan sesungguhnya aku mencintai untukmu atas sesuatu yang aku mencintainya untuk diriku. Janganlah engkau menjadi pemimpin (amir) dua orang dan menjadi wali bagi harta anak yatim.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w melarang Abu Dzar al-Ghiffari r.a daripada menerima perlantikan sebagai pemimpin (imarah) dan tugas suatu jawatan (walayat) kerana Rasulullah s.a.w melihat ada kelemahan pada sifat Abu Dzar r.a. Padahal sebuah kesaksian mengatakan, “Sesungguhnya tidak terdapat di kolong langit dan di atas bumi orang yang paling jujur perkataannya melainkan Abu Dzar.”
Dalam satu keadaan yang lain, Nabi s.a.w melantik Amr ibn Al-As r.a sebagai panglima perang dalam pertempuran Dzaatus Salaasil dengan harapan perlantikan Amr r.a itu dapat meredakan (isti’thafan) hati kaum kerabatnya kerana dalam perang tersebut, golongan yang diperangi oleh Amr ibn Al-As r.a adalah kaum kerabatnya sendiri.
Ibn Ishaq, pengarang Sirah menyatakan bahawa ibu ‘Amr ibn Al-As r.a adalah berasal dari suku Bali iaitu kabilah yang sedang diperangi pada waktu itu.
Kebijaksanaan Rasulullah s.a.w diwarisi oleh Abu Bakar r.a, pengganti (khalifah) Rasulullah s.a.w yang tetap mempertahankan Khalid Al-Walid r.a sebagai panglima perang untuk menghadapi kelompok yang murtad mahupun dalam penaklukan Iraq dan Syam biarpun Khalid r.a telah melakukan beberapa kesalahan lain kerana berdasarkan pada pandangan Syaidina Abu Bakar r.a yang berupa ijtihad yang bersifat pandangan peribadi (takwil). Atas kesalahan-kesalahan Khalid Al-Walid r.a itu, panglima perang yang terkenal itu tidak dipecat daripada jawatannya tetapi Syaidina Abu Bakar r.a mencela perbuatannya yang salah (‘atabaha). Sebabnya, Syaidina Abu Bakar r.a masih melihat kuatnya kaitan maslahat iaitu dengan mempertanyakannya yang didahulukan daripada mafsadah (tindakan) akibat perilakunya dan orang lain belum tentu dapat menggantikan kedudukan Khalid Al-Walid r.a pada waktu itu.
Situasi ini boleh diterima kerana pemimpin utama (al-mutawalli al-kabir), dari segi akhlaknya, memiliki karektor yang lembut. Maka seharusnya pemimpin utama itu mempunyai timbalan (na’ib) yang memiliki sifat yang tegas. Sebaliknya jikalau pemimpin utama tegas, timbalannya perlu memiliki karektor yang lembut agar suasana pemerintahan seimbang (liya’tadila al-amr).
Seandainya dalam suatu walayat (jawatan dalam pemerintahan) lebih menuntut keperluan akan adanya sikap amanah, orang yang memiliki kejujuran untuk memegang amah adalah yang layak menduduki jawatan berkenaan. Contohnya dalam sektor pengeluaran mahupun penyimpanan dana negara, penjawat jawatan adalah orang yang tegas dan kuat. Manakala dalam bidang ketenteraan, apabila seorang penguasa ingin melantik seorang panglima, maka dia perlu melakukan perbincangan dan mendapatkan pandangan (musyawarah) dengan orang yang lebih ahli dan ulama (ulul-‘ilmi).
Begitu juga dengan perlantikan jawatan-jawatan penting yang lain (walayat). Apabila maslahat tidak boleh disempurnakan dengan perlantikan seorang petugas, hendaknya dipilih beberapa orang dengan syarat mendahulukan yang memiliki kriteria yang lebih layak untuk menjawat jawatan berkenaan (tarjih al-asylah).
Bersambung
PENULIS: Kelembai Bukit
0 comments:
Post a Comment