Kenyataan rasis: Saya tiada kuasa hukum dua pengetua, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap dua pengetua yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar mereka bulan lalu meskipun beliau juga merupakan Menteri Pelajaran.

Kata beliau, perkara-perkara yang berkaitan dengan isu disiplin melibatkan pegawai kanan kerajaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Menteri tidak boleh mengambil tindakan (dalam perkara ini). Jadi kes-kes melibatkan sesetengah perkara termasuk kes-kes pengetua ini, yang terletak dalam gred tinggi... jika saya tidak silap, gred mereka antara 48 dan 52, maka ini perlu diputuskan oleh lembaga disiplin (yang terletak di bawah) JPA,” kata beliau di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan upacara pembukaan ABD/OECD Anti Corruption Initiative For Asia and The Pacific Regional Seminar on the Criminalisation Of Bribery di Palace of the Golden Horses di sini.

Muhyiddin menekankan bahawa Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan dengan pihaknya mengadakan siasatan sendiri dan laporannya telah diserahkan kepada JPA untuk tindakan susulan.

“Saya telah meminta JPA menentukan tindakan yang sewajarnya. Ini terletak di bawah bidang kuasa mereka,” kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau telah pun membuat keputusan dan berharap orang ramai akan menunggu keputusan JPA.

Pada 3 September lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata JPA akan membentangkan kertas siasatan berhubung seorang pengetua sekolah di Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada Lembaga Disiplin Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, langkah tersebut akan menentukan sama ada kertas pertuduhan akan dikeluarkan terhadap pengetua tersebut.

“Saya telah menerima kertas siasatan dari Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pelajaran (pada 2 September), dan saya bersama beberapa pegawai JPA sedang menelitinya.

“Jika ada asasnya (untuk mengambil tindakan), kami akan membentangkan kepada Lembaga Disiplin JPM bagi mendapatkan persetujuan untuk mengemukakan pertuduhan ke atas pengetua tersebut,” katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin meminta Abu Bakar membuat keputusan segera berhubung kenyataan berbaur perkauman oleh Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra Kulaijaya, Siti Aishah Mansor.

Dia didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.

Muhyiddin juga telah mengumumkan sebuah jawatan kuasa ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut bagi mendapatkan fakta sebenar perkara itu.

Abu Bakar berkata jika kertas pertuduhan dikeluarkan, pengetua terbabit akan diberikan peluang untuk membela diri sebelum sebarang keputusan dibuat.

Di Kedah, Ungku Aznan Ungku Ismail, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau di Sungai Petani juga mencetuskan suasana tidak senang ekoran kenyataan berbaur perkauman.

Bagaimanapun pengetua berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kira-kira 10 muridnya telah memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Pengarah Pelajaran Kedah Shahidan Abdul Rahman berkata, permohonan maaf itu dibuat ketika pengetua terbabit mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid-murid berkenaan.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:39 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III