Wartawan, editor tak etika patut tinggalkan Utusan

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari terus diasak pelbagai pihak berhubung kenyataannya di Utusan Malaysia yang membabitkan pergeseran antara kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan seorang menteri Umno.

Walaupun dibidas, Hata mempertahankan bahawa kenyataannya itu dan berkata ia dikeluarkannya sebagai seorang wartawan profesional.

"Saya bukan memburukkan imej Utusan Malaysia. Saya sentiasa mempertahankan bahawa akhbar itu tidak patut dipersalahkan."Sebaliknya, kesalahan di tangan editor kanan. Bukannya di akhbar yang mempunyai lebih 1,000 kakitangan bekerja untuknya,” kata Hata yang juga adalah wartawan di Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan Utusan hari ini yang metik presiden kelab veteran akhbar berkenaan Raja Ahmad Niza Raja Ismail yang menemplaknya dan menasihatkannya tidak perlu 'cari makan' di syarikat akhbar tersebut jika mahu 'menggigit' organisasi yang telah banyak berjasa itu.

"Kalau tidak selari dengan Utusan Malaysia, beliau patut berhenti. Jangan kita 'gigit' tangan yang menyuap makanan ke mulut kita hanya kerana kepentingan peribadi yang berbaur politik.
Pengalaman 15 tahun

"Jika tidak setuju dengan akhbar ini, beliau pergilah 'cari makan' di tempat yang dia sanjung, berkhidmat dengan syarikat yang kononnya mengamalkan 'kebebasan media' seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider," kata Raja Ahmad.
Mengulas sindiran itu,Hata berkata tidak ada sebab bagi beliau mengundurkan diri.

"Mengapa saya patut tinggalkan Utusan? Saya berharap wartawan akan menjadikan Utusan akhbar yang melaporkan berita dengan adil, saksama dan terus menjadi suara rakyat.

“Saya pertahankan prinsip akhbar Malaysia. Mengapa saya mesti letak jawatan?”

Hata yang telah 15 tahun berkhidmat sebagai wartawan di Utusan berkata Raja Ahmad adalah wartawan yang mempunyai kepentingan diri sendiri.

“NUJ gembira dia tidak ada (lagi) bersama Utusan kerana dia adalah wartawan kelas ketiga. Ini kerana dia hanya pentingkan politk dan diri sendiri.

"Malah, mana-mana wartawan atau editor di Utusan yang tidak memegang etika kewartawanan dan berpihak (kepada parti politik) sepatutnya tinggalkan Utusan,” kata Hata.

Hata juga menafikan dakwaan bahawa beliau adalah berpendirian pro-pembangkang seperti yang didakwa oleh pihak-pihak yang membidasnya.
Wartawan profesional

“Saya wartawan profesional. Saya tidak memihak dan tidak berat sebelah. Tak ada hubungan dengan mana-mana parti politik. Saya pegang kepada etika kewartawanan,” katanya.
Jumaat lalu, dalam kenyataan sulungnya selepas dipilih sebagai presiden baru NUJ, Hata menimbulkan perdebatan apabila berkata agenda ketua dan pengarang kanan Utusan Malaysia tidak ada kena mengena dengan kebebasan media, sebaliknya hanya memenuhi keperluan "tuan politik" masing-masing.

Isu itu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz pada 20 September lalu mempertikaikan kolumnis kontroversi Utusan Malaysia, Awang Selamat sama ada beliau mempunyai ketua selain Datuk Seri Najib Razak kerana didakwa cuba menggagalkan usaha perpaduan negara.
Isu itu semakin kusut apabila ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan PERKASA Mohd Zahid Md Arip campurtangan dan mendakwa Hata dilihat cenderung kepada pembangkang.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:57 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III