Anwar dakwa akaun 1MDB canggah, alami masalah serius

Anwar: Apakah kerajaan memberikan pengecualian sepenuh kepada 1MDB dan apakah rasional kerajaan dalam hal ini?
Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menjelaskan sama ada akaun dana 1Malaysia Development Fund Bhd (1MDB) tidak dapat dimuktamadkan kerana wujudnya banyak percanggahan.

Anwar juga mendakwa terdapat spekulasi bahawa juruaudit enggan menandatangani akaun tersebut kerana terdapat banyak percanggahan.

“Lazimnya, juruaudit enggan menandatangani akaun yang diauditnya apabila wujud masalah serius dalam akaun tersebut.

“Oleh kerana jumlah yang membabitkan dana awam sebegitu besar, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan kepada khalayak sama ada berita mempunyai kebenaran atau tidak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Kini bertiup kencang berita bahawa audit akaun untuk tahun fiskal yang sepatutnya berakhir pada Mac 2010 belum dapat dimuktamadkan,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, difahamkan berdasarkan kunci kira-kira, kenapakah 1MDB boleh mengaut keuntungan  yang tidak diasingkan sebanyak RM121.79 juta.

“Ia menjadi satu tanda tanya apabila liabiliti bukan semasa adalah sebanyak RM4.39 bilion sahaja dan bukan RM5 bilion seperti yang diumumkan oleh 1MDB.

“Ke mana hilangnya sejumlah RM610 juta? Kita difahamkan juga berdasarkan kunci kira-kira tersebut, pinjaman sejumlah RM37 juta diperlukan sedangkan deposit kategori aset semasa adalah sebanyak RM782.12 juta.

“Lazminya, kategori aset semasa merujuk kepada kategori di mana transaksi dapat dilakukan bila-bila masa dalam tempoh waktu kurang daripada 12 bulan.

“Sebaliknya, jika deposit kategori aset semasa tidak dapat digunakan untuk membuat pembayaran, bagaimana ‘other payables’ sebanyak RM99.43 juta dapat dibayar dengan ‘other receivables’ yang hanya berjumlah RM16.15 juta?” katanya.

1MDB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, ditubuhkan bagi memacu inisiatif strategik untuk pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk FDI ke dalam negara.

Kerajaan memperkenalkan 1MDB yang diperuntukkan RM5 bilion pada 2009 melalui penerbitan bon jaminan kerajaan.

Baru-baru ini, 1MDB juga bercadang mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak RM5 bilion.

Pinjaman RM5 bilion baru ini tidak akan dijamin oleh kerajaan Malaysia secara langsung, malah akan diselesaikan melalui penerbitan beberapa bon sejumlah RM10 bilion yang disokong oleh kerajaan.

“Ini bermaksud 1MDB akan menanggung liabiliti jangka panjang sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2013,” kata Anwar sambil menambal, jumlah itu empat kali ganda besar jumlahnya berbanding dengan nilai bon dikeluarkan untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang bernilai sekitar RM3.685 bilion.

Anwar juga berkata, pihaknya difahamkan menurut penyata pendapatan pula, dana tersebut mendapat keuntungan sebanyak RM439.83 juta tetapi tidak pasti bagaimana sesebuah dana sebegitu boleh mendapat keuntungan tersebut.

“Biasanya ‘keuntungan’ diperoleh melalui pelaburan. Butiran hasil diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan lain yang berkaitan,” katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan sama ada apakah status pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan kepada 1MDB.

“Apakah kerajaan memberikan pengecualian sepenuh kepada 1MDB dan apakah rasional kerajaan dalam hal ini?

“Adakah item ini merujuk kepada status kewangan Terengganu Investment Authority Berhad sebelum bertukar nama kepada 1MDB?” kata Anwar lagi.

Pada 11 Jan lalu kerajaan mengumumkan bahawa Yayasan 1MDB telah ditubuhkan bagi mengendalikan satu dana tanggungjawab sosial yang bernilai RM100 juta.

“Adalah difahamkan juga, jumlah RM100 juta tersebut tidak muncul sama ada dalam penyata pendapatan atau kunci kira-kira,” katanya.

Kata beliau, akibat dari pengurusan yang tidak telus, makanya begitu banyak persoalan yang muncul.

Katanya, ia mengingatkan negara kepada dengan penubuhan ValueCap yang bernilai RM10 bilion pada 2002.

“ValueCap tidak membawa sebarang makna selain memangkin segelintir syarikat sahaja dalam pasaran saham, mengulangi bentuk salah guna kuasa dan salah agih dana awam yang berlaku pada tahun 1997.

“Operasi ValueCap penuh dengan misteri (rahsia) sehingga orang ramai tidak mengetahui transaksi apakah yang telah dilakukan.

“Lebih-lebih lagi, ValueCap mendapatkan pinjaman daripada KWSP dengan kadar faedah rendah,” katanya.

Beliau juga menambah, ia menimbulkan kebimbangan dana tersebut digunakan untuk menyelamatkan kroni besar dalam Bursa Malaysia.

“Kini kita khuatir dana awam yang disalurkan kepada 1MDB juga akan mengalami nasib yang sama sepertimana dengan beberapa usaha kononnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Berselindung di sebalik hasrat yang dipamerkan sebagai satu langkah yang bermakna, akhirnya hanya menguntungkan segelintir sahaja dari kalangan mereka yang rapat dengan pemerintah,” katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 5:08 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III