Dakwaan taktik kotor: Jenapal cabar Anwar, Azmin buktikan bersih

Bekas timbalan setiausaha agung PKR Jenapala Perumal Subaan hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali menafikan secara terbuka mereka tidak terlibat dalam elemen-elemen taktik kotor untuk meraih pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Ini kali pertama PKR mengadakan pemilihan langsung melibatkan hak bagi setiap ahli mengundi.

Beliau yang minggu lalu menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden berkata, terdapat beberapa insiden yang berlaku sepanjang pencalonan parti ini seolah-olah menunjukkan kedua-dua pemimpin tersebut terlibat dalam taktik kotor.

“Saya sekarang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR) untuk mengesahkan atau menafikan mereka terlibat dalam insiden penipuan itu.

“Saya juga ingin tahu sama ada Datuk Seri Anwar sedar akan insiden yang melibatkan seorang pemimpin senior yang memanggil pemimpin India sebagai ‘pariah’ dan adakah permohonan maaf telah dibuat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, terdapat beberapa penipuan yang berlaku ketika pencalonan bagi jawatan parti di beberapa cabang parti termasuk di Permatang Pauh (Pulau Pinang), Batu Gajah (Perak), Kudat dan Silam (Sabah) serta Bandar Indera Mahkota dan Raub (Pahang).

“Di Permatang Pauh sepatutnya ada tiga calon yang akan bertanding bagi jawatan timbalan ketua cabang iaitu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mansor Othman, Roselai Muhammad dan Che Mat Hashim. Selepas disahkan nama, Roselai secara tiba-tiba menarik diri selepas dikatakan menerima desakan untuk berbuat demikian.

“Malah Che Mat juga telah menarik diri sebelum pemilihan dan penyokongnya mendakwa beliau berbuat demikian setelah mendapat desakan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini jelas tiada calon lain yang akan bertanding bagi jawatan itu kecuali Mansor sahaja,” katanya.

Menurut Jenapala, insiden kedua melibatkan pencalonan beliau di Batu Gajah yang mana ketika namanya ditulis di papan pencalonan secara tiba-tiba pemimpin senoir parti Dr Lee Boon Chye memadamkan nama dan tidak membenarkan beliau bertanding di peringkat pemilihan cabang.

“Keadaan sama turut berlaku di Kudat, Silam, Bandar Indera Mahkota dan Raub yang melibatkan beberapa pemimpin parti lain,” katanya.

Selain itu, Jenapala juga mendakwa Azmin ketika berkunjung ke Tuaran secara terbuka menawarkan Ketua cabang itu Ansari Abdullah bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya menang dalam pemilihan parti.

“Beliau (Azmin) turut menawarkan jawatan dalam Kabinet kepada sesiapa yang menyokong beliau dan memastikan beliau memegang jawatan nombor dua parti,” katanya.

Beliau juga mahu Ketua Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) Dr Molly Cheah menjelaskan sama ada terdapat dua undang-undang berlainan dalam pemilihan parti.

“Adakah satu undang-undang untuk ahli biasa yang mahu bertanding seperti yang beliau (Dr Molly) kata pemilihan ‘bebas dan adil’ dan yang satu lagi untuk golonga elit yang selama ini menggerakkan PKR?

“Jadi kepada pemimpin parti saya minta supaya praktikkan apa yang dikatakan. Kita mengkritik Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak amalkan pemilihan yang adil.

“Ini bukan hanya melibatkan pemilihan ahli PKR, tetapi semua rakyat Malaysia mengikuti perkembangan ini. Jangan biarkan mereka kecewa,” katanya lagi.

Mesyuarat agung tahunan cabang bermula kelmarin dan setakat ini sekitar 80 cabang telah mengadakan pertemuan masing-masing.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali memperoleh pencalonan terbanyak bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Datuk Zaid Ibrahim menduduki tempat kedua bagi jawatan timbalan presiden.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 6:16 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III