Gaji minimum: MEF tak mahu campur tangan kerajaan tentukan gaji swasta

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menegaskan pihaknya tetap dengan pendirian tidak akan menerima dasar gaji minimum sama sekali, yang buat pertama kali kelihatan menerima “lampu hijau” daripada kerajaan dalam usaha menaikkan pendapatan pekerja sektor swasta.

Sehubungan itu, persekutuan tersebut meminta kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan paras gaji sektor swasta negara ini.

“Di sektor awam membabitkan kakitangan awam, kerajaan boleh menentukan paras gaji tetapi kami berpendapat soal gaji sektor swasta, kerajaan tidak harus campur tangan... kerajaan tidak wajar menentukannya.

“Biar gaji pekerja-pekerja sektor swasta ditentukan oleh faktor pasaran,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Pada 2007 kerajaan menaikkan gaji pekerja sektor awam antara 7 hingga 35 peratus, yang membolehkan pendapatan minimum kakitangan awam mencecah RM1,200 sebulan.

Secara relatif ia kelihatan jauh tinggi berbanding gaji sebahagian kecil pekerja swasta negara ini.

“Seperti dalam keadaan itu, kerajaan boleh buat tetapi sukar bagi swasta,” kata Shamsuddin.

Kata beliau, sebagai majikan kerajaan boleh menetapkan gaji kakitangan awam dari semasa ke semasa tetapi bukannya sektor swasta.

“Tetapi dalam kes sektor swasta, biar kami yang menentukan. Kerajaan jangan tentukan gaji pekerja-pekerja swasta,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, MEF akan terus membantah pelaksanaan gaji minimum walaupun “dunia khiamat.”

“Sampai bila-bila pun kami akan membantah... memang pada satu seminar gaji minimum (bulan lalu) saya ada menyebut, MEF akan terus membantah walaupun dunia ini sudah tiada, dan dunia baru muncul, kami akan terus membantah,” kata beliau sambil menegaskan, “apakah kita hendak menaikkan gaji tetapi pada masa yang sama mengurangkan peluang pekerjaan.”

“Yang mana satu lebih baik, lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji munasabah seperti sekarang atau menaikkan gaji tetapi mengurangkan bilangan pekerjaan,” kata beliau lagi.

Menurut Shamsuddin, MEF bimbang penetapan gaji minimum akan meningkatkan kos pengeluaran, sekali gus mengakibatkan pelabur mengalami kerugian dan menutup operasi.

Shamsuddin berkata, MEF berpandangan bahawa untuk mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi perlu ada usaha meningkatkan daya saing menerusi peningkatan prestasi dan produktiviti yang boleh dicapai menerusi pendekatan kemahiran pelbagai, latihan semula, pembangunan kemahiran dan pensijilan dan mengkaji semula undang-undang buruh.

“Selain itu MEF mengesyorkan pembentukan Majlis Gaji Kebangsaan untuk membincangkan soal gaji dan garis panduan gaji setiap tahun,” kata beliau.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Pemuda Barisan Nasional (BN) bergandingan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) — dilihat julung kali menjalin kerjasama — menganjurkan forum umum gaji minimum bagi mencari kata sepakat yang boleh memanfaatkan kira-kira lima juta pekerja berpendapatan rendah.

Bagaimanapun kedua-dua ikatan politik dan pertubuhan bukan kerajaan ini menolak daripada melihat kerjasama itu dari sudut politik menjelang pilihan raya umum ke-13, tetapi yakin boleh memberi “tekanan politik” agar dasar gaji minimum meliputi semua sektor pekerjaan menjadi kenyataan.

Penganalisis melihat jumlah pekerja itu sebagai komponen yang signifikan dalam daftar pengundi yang boleh mencecah 12 juta orang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Kedua-dua wakil MTUC dan Pemuda BN sudah mengadakan perbincangan minggu lalu mengenai kerjasama bersejarah ini.

Pemuda BN mewakili komponen 13 parti politik manakakala MTUC pula mempunyai sekitar 140 kesatuan gabungan yang aktif mewakili 500,000 ahli.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata bagi beliau, isu gaji minimum adalah “soal moral” yang penting untuk meningkatkan pendapatan kaum pekerja.

“Kita harus meningkatkan pendapatan rakyat khususnya golongan pekerja, kita tidak mahu ada yang masih menerima gaji RM400, RM500, di bawah garis kemiskinan... jadi ini adalah soal moral bagi saya,” kata Khairy yang juga Ali Parlimen Rembau ini.

Setiausaha Agung MTUC G. Rajasekaran mengesahkan yang majlis am kongres itu telah memperakui tawaran Pemuda BN agar menyertai bersama dalam usaha menganjurkan forum sehari itu.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam meminta para majikan supaya menyokong dasar gaji minimum bagi memastikan pelaksanaannya, kemungkinan pada tahun depan, berjalan lancar.

Beliau berkata mereka tidak perlu bimbang atau menganggap dasar itu sebagai halangan kepada perniagaan mereka.

Di sebalik jaminan kerajaan bahawa dasar gaji minimum tidak akan menjejaskan industri, MEF masih tetap dengan pendiriannya bahawa dasar itu akan memberi kesan kepada perniagaan dan pekerja

tempatan kerana ia cenderung untuk memberi manfaat kepada pekerja asing yang kurang mahir dan berpendapatan rendah.

Kementerian Sumber Manusia masih mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan dasar mengenai gaji minimum digabungkan dengan baik.

Subramaniam dijangka membentangkan kertas kerja mengenai gaji minimum kepada Kabinet menjelang bulan depan.

Katanya, gaji minimum adalah perlu kerana struktur gaji dalam banyak sektor tidak berubah secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun dengan kenaikan harga barangan.

Dalam ulasan lanjut kepada The Malaysian Insider, Rajasekaran berkata, MEF kelihatan membantah gaji minimum atas “dasar mahu membantah.”

“Kini kerajaan kelihatan menyokong gaji minimum, buat pertama selepas selama ini membantah cadangan kami.

“Saya percaya cara MEF membantah menunjukkan mereka hanya membantah atas dasar mahu membantah... itu saja,” kata Rajasekaran sambil menambah, MTUC tidak nampak sebarang “alasan kukuh” MEF dalam pendirian mereka.

Kata Rajasekaran, berdasarkan perbualan beliau dengan anggota inividu MEF, ada yang menyokong dasar gaji minimum atas alasan ia boleh menyediakan garis panduan saraan yang boleh membantu dalam urusan perancangan operasi mereka.

“Sebenarnya bukan semua anggota MEF yang membantah dasar gaji minimum,” kata beliau.

“Oleh itu, kerajaan perlu ada iltizam politik untuk melaksanakan dasar gaji minimum,” katanya lagi.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:38 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III