Ku Li jadi tumpuan p'raya kecil DUN Galas

Ketua Umno bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan membantu BN merampas semula DUN Galas, manakala PAS pula berharap pemimin veteran Umno itu akan mengambil sikap 'low profail' dalam pilihan raya kecil Galas nanti.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS petang kelmarin kerana barah usus.

Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 646 undi.

Calon PAS itu mendapat 4,399 undi mengalahkan Mohd Saufi memperolehi 3,753 undi.

Dun Galas mempunyai komposisi kaum dengan majoriti Melayu seramai 6,200, Cina (1,900), India (170) dan Orang Asal (2,000).


Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang yang diwakili oleh Tengku Razaleigh. Dua lagi DUN ialah Nenggiri dan Paloh yang menangi oleh BN.

Tengku Razaleigh (kanan) yang dihubungi Berita Harian di London, dilaporkan berkata ia boleh dilakukan dengan lebih berkesan jika beliau diberi peranan untuk menggerakkan dan mengatur pelbagai persiapan seperti tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi di bahagian itu.

“Saya akan bekerja keras bersama pemimpin lain dalam bahagian bagi menentu kerusi DUN Galas yang sebelum ini dimenangi PAS kembali ke tangan BN,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, Umno bahagian itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia mengatur persiapan menghadapi pilihan raya kecil di kerusi yang pernah menjadi kubu BN.

Katanya, buat masa ini beliau masih sibuk dengan tugas penting yang perlu diselesaikan dulu di luar negara dan menyerahkan kepada tiga kepimpinan bahagian itu untuk mengatur persiapan awalnya.

Beliau percaya timbalan ketua Umno bahagian Mat Yusoff Ab Ghani, naib ketua Datuk Nozula Mat Diah dan setiausahanya Ab Aziz Yusoff mampu berbuat demikian.

Sementara itu, Harakahdaily memetik pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai berkata beliau yakin Tengku Razaleigh mempunyai kaedah sendiri namun jika dia tidak menonjol adalah lebih baik.

"Faktor Ku Li memang kita tak boleh pandang rendah, tapi kita yakin mood beliau sendiri pada BN pada waktu ini tak begitu tinggi.

"Kita harap dia berada dalam keadaan 'low profile' kerana dia pun dipinggirkan oleh pemimpin BN selama ini," kata beliau yang juga Adun Bukit Tuku.

Faktor Ku Li disifatkan sangat menarik kerana satu-satunya pemimpin Umno yang bersetuju dengan tuntutan kerajaan PAS negeri itu menuntut hak royalti minyak yang dinafikan kerajaan Pusat.

Lebih menarik lagi, apabila isu tuntutan hak royalti negeri ini dijangka akan menjadi antara isu utama sepanjang kempen pilihanraya itu nanti.

Mengulas kelebihan PAS pula, Abdul Fatah berkata beliau optimis parti itu mampu mempertahankan DUN itu malah dengan pertambahan majoriti undi berbanding sebelum ini.

Ianya disandarkan kepada beberapa faktor termasuk hubungan baik kerajaan negeri dengan rakyat sejak lama.

"Kerajaan negeri sekarang berada dalam keadaan sangat baik, hubungan yang lunak antara pemimpin politik dengan kakitangan kerajaan serta pihak istana.

"Malah rakyat juga dapat menilai segala dakwaan pihak pembangkang negeri bahawa terdapat penyelewengan telah dibuktikan bahawa tidak wujud," katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:24 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III