Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Gua Musang menyifatkan cadangan PAS agar Umno tidak meletakkan calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas itu sebagai "takut tidak bertempat".
Ketua Wanitanya, Datuk Wan Hazani Mohd Nor berkata cadangan itu langsung tidak praktikal kerana menang kalah dalam pilihan raya adalah adat pertandingan.
"Menang kalah dalam pilihan raya adat. Umno pernah menang dan tewas tetapi kita terima kekalahan itu dan begitu juga PAS yang pernah tewas di Galas pada 2004.
Semalam, Takiyuddin yang memberikan cadangan itu atas nama perpaduan Melayu berkata Umno seharusnya membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu dengan tidak bertanding di DUN itu nanti.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam komennya juga turut bersetuju dengan cadangan Takiyuddin itu malah berpendapat semua pihak perlu bersatu dalam PAS.
Mengulas perkara itu, Wan Hazani berkata Umno mempunyai keyakinan BN mampu merampas kembali DUN Galas itu berdasarkan kepada sokongan rakyat di DUN itu ketika ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda bahagian itu, Bazlan Baharuddin berkata Umno mempunyai banyak calon berwibawa untuk digalaskan harapan bertanding DUN itu.
Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus, dua hari lalu di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam pilihan raya umum 2008, allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.
0 comments:
Post a Comment