Isu BTN: Pemuda Gerakan mahu Hamim dilucut jawatan

Pemuda Gerakan menggesa supaya Hamim Husin dilucutkan jawatan Timbalan Pengarah Belia Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan ekoran kenyataannya bersifat perkauman, perkembangan yang dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan kaum.

Setiausaha Agungnya Dr Dominic Lau berkata kenyataan yang dibuat Hamim adalah tidak berasas dan keterlaluan.

“Saya mahu supaya beliau (Hamim) dilucutkan jawatan tersebut kerana beliau dilihat sebagai tidak tahu matlamat sebenar konsep 1 Malaysia.

“Kenyataan yang dibuat beliau secara terbuka telah merendahkan orang Malaysia bahkan ia bertentangan dengan matlamat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan.

Lau juga menggesa supaya kursus yang dibawa dalam BTN diubah terutamanya modulnya supaya selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“Ada banyak aduan daripada peserta bahawa kursus BTN ini adalah program yang berat sebelah, ketinggalan zaman, rasis dan ia harus diubah.

“Dalam ucapan yang dibuat beliau semalam (kelmarin) mengatakan bahawa hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan beliau juga menyarankan agar orang Melayu bersatu demi mempertahankan hak mereka,’ katanya.

Lau mengulas kenyataan dibuat Hamim yang mengatakan hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini.

“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.

“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.

Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Najib menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam juga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.

Subramaniam juga bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.

Selain itu, Naib Presien PAS Salahuddin Ayub juga mengecam kenyataan yang dibuat Hamim sambil menyifatkan ia adalah imej sebenar Umno untuk memecah-belahkan semua kaum di negara ini.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:34 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III